ARTIKEL

‘Satelit, bukannya pokok’ – Abang Johari bidas pihak skeptikal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak tidak boleh membiarkan pandangan skeptikal menghalang usaha negeri meneroka teknologi baharu dan membangunkan ekonomi masa depan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak perlu berani melaksanakan pembaharuan bagi memastikan negeri ini tidak terus bergantung kepada teknologi luar, sebaliknya mampu menjadi antara peneraju inovasi.

“Kita sedang membangunkan Tanjung Embang, tetapi ada pihak meminta saya menghentikannya. Kita juga mahu meningkatkan pengangkutan awam melalui Transit Aliran Automasi (ART), namun ada yang menyuruh kita menghentikannya.

“Mungkin mereka mahu kita kembali tinggal di atas pokok. Tetapi kita mahu melancarkan satelit. Satelit, bukannya pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-75 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) serta Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak 2026 di sini, malam tadi.

Justeru, tegasnya, Kerajaan Sarawak tetap meneruskan pembangunan Tanjung Embang dan projek ART berkuasa hidrogen walaupun menerima kritikan serta desakan supaya kedua-dua inisiatif itu dihentikan.

“Malah, kemajuan teknologi membran dan proses pengeluaran telah mengurangkan kos penghasilan hidrogen melalui kaedah elektrolisis sebanyak kira-kira 40 peratus.

“Apabila kita sampai ke peringkat pelaksanaan nanti, mungkin kosnya menjadi jauh lebih murah. Dan kita antara yang pertama menggunakannya.

“Perkembangan itu membuktikan sesuatu teknologi yang dianggap mahal pada peringkat awal berpotensi menjadi lebih ekonomik apabila penyelidikan dan inovasi terus berkembang,” jelasnya.

Tambahnya, kemajuan teknologi terus membuka peluang kepada Sarawak untuk membangunkan sektor ekonomi baharu, khususnya dalam bidang tenaga bersih dan industri berteknologi tinggi.

“Dengan kekayaan sumber tenaga boleh baharu, khususnya hidroelektrik dan solar, ia memberikan Sarawak kelebihan untuk membangunkan industri baharu serta menyokong peralihan kepada ekonomi hijau.

“Justeru, kita perlu mengambil peluang daripada perkembangan teknologi dan membuat persediaan lebih awal bagi memperoleh manfaat apabila penggunaannya menjadi lebih meluas,” ujarnya.

Tegasnya, kejayaan pembangunan negeri pada masa depan bergantung kepada kesediaan menerima perubahan, memperkukuh kepakaran teknologi serta melaksanakan perancangan jangka panjang meskipun berdepan perbezaan pandangan.

Mengenai pembangunan Tanjung Embang, beliau berkata kawasan itu dirancang menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi yang merangkumi cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu, pelabuhan laut dalam dan pembangunan industri bernilai tinggi.

Pada Oktober lalu, Abang Johari memaklumkan pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyelaras pembangunan kawasan berkenaan, dengan kerja fizikal disasarkan bermula pada awal 2027.

Cadangan lapangan terbang baharu itu turut dirancang mempunyai kapasiti awal 15 juta penumpang setahun bagi memperkukuh hubungan udara, perdagangan, pelancongan dan pelaburan di Sarawak.

BERITA LAIN

Warisan 34 etnik asas perpaduan Sarawak

KUCHING: Kepelbagaian 34 kumpulan etnik di Sarawak yang memiliki bahasa, adat resam dan warisan tersendiri perlu terus dipelihara sebagai kekuatan identiti negeri serta asas perpaduan

BERITA TERBARU