KUCHING: Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabelkan orang bukan Islam sebagai lebih zalim daripada penganut Islam disifatkan melampau, tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, pemimpin politik tidak seharusnya menggunakan agama untuk merendahkan penganut agama lain atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemarakkan sentimen kebencian dan perpecahan.
Katanya, Malaysia dibina atas prinsip saling menghormati, toleransi, keadilan serta penerimaan terhadap kepelbagaian, bukan kebencian atau penghinaan terhadap agama lain.
“Beliau sepatutnya mencontohi pemimpin yang matang dan berjiwa besar, khususnya di Sarawak, yang sentiasa mengutamakan keharmonian serta menghormati hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Abang Zulkifli berkata, kenyataan kontroversi mengenai masyarakat bukan Islam bukan perkara baharu kerana Hadi sebelum ini pernah dikaitkan dengan kenyataan yang menggambarkan masyarakat Sarawak sebagai primitif dan memakai cawat.
Katanya, kenyataan seperti itu bukan sahaja menghina dan merendahkan martabat rakyat Sarawak, malah tidak mencerminkan realiti negeri berkenaan yang terkenal dengan keharmonian masyarakatnya.
“Sarawak ialah contoh bagaimana masyarakat pelbagai kaum dan agama mampu hidup bersama secara aman, saling menghormati dan meraikan kepelbagaian,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang sekiranya kenyataan berkenaan didapati berpotensi menggugat keharmonian serta perpaduan negara.
Pada masa yang sama, beliau menyeru rakyat Malaysia, khususnya di Sarawak, menolak politik ekstrem dan kebencian serta tidak membiarkan isu agama dan kaum dijadikan alat untuk meraih kepentingan politik.




