KUCHING: Tujuh pusat panggilan sindiket penipuan dibongkar di Sarawak menerusi Op Magpie, manakala 42 individu termasuk 28 warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan terhadap mangsa di luar negara.
Pusat itu dikesan beroperasi menggunakan pelbagai modus operandi antaranya pelaburan palsu, mata wang kripto, perjudian dalam talian, tawaran pekerjaan, penipuan telefon serta penipuan cinta.
Yang Dipertua Majlis Penasihat Pengguna Negara (MTPN) Sarawak, Lucas Lau, berkata kejayaan operasi polis itu membuktikan kegiatan sindiket penipuan bukan hanya berlaku di tempat lain, sebaliknya boleh beroperasi di rumah dan pangsapuri biasa.
Katanya, antara peralatan yang dirampas dalam serbuan ialah komputer, telefon bimbit dan sebuah peranti Starlink yang dipercayai digunakan bagi mengelak pengesanan melalui kaedah komunikasi konvensional.
“Dari sudut perlindungan pengguna, operasi ini amat dialu-alukan, namun ia juga menunjukkan sindiket sentiasa mengubah taktik, termasuk beralih kepada panggilan berasaskan internet dan sistem satelit,” katanya.
Lucas berkata, orang ramai perlu segera melaporkan jika mendapati premis kediaman, pangsapuri, kilang terbiar, kawasan perumahan baharu atau resort yang biasanya sunyi tiba-tiba dikunjungi ramai individu, khususnya warga asing.
Katanya, maklumat mencurigakan boleh disalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak menerusi talian 011-62890089 atau balai polis berhampiran kerana maklumat orang awam sebelum ini turut membantu membongkar kegiatan sindiket.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak memberikan maklumat sulit seperti OTP, TAC, PIN atau kata laluan perbankan kepada mana-mana pihak serta menyemak akaun penerima menerusi portal Semak Mule sebelum melakukan transaksi.
“Jika sudah membuat pindahan wang dan mengesyaki menjadi mangsa penipuan, hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dengan segera kerana tindakan pantas boleh meningkatkan peluang dana dibekukan,” katanya.


