SRI AMAN: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus dizahirkan oleh Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) menerusi penyaluran bantuan kepada golongan memerlukan di Rumah Maluda, Kampung Ibol, di sini, semalam.
Menerusi program Ziarah Prihatin itu, JAKKSA bukan sahaja menyampaikan sumbangan bakul makanan, malah turut menghulurkan alat bantuan pergerakan iaitu tongkat berkaki empat (quad cane) bagi membantu penerima yang memerlukan sokongan semasa bergerak.
Kunjungan berkenaan diketuai Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling, yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk bagi mendekati serta memahami keperluan komuniti setempat.
Menurut Gerald, yang juga seorang peguam, program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan JAKKSA dalam membantu masyarakat sejak mula aktif menjalankan kegiatan kebajikan kira-kira lima tahun lalu.
Beliau berkata, penubuhan JAKKSA bertujuan memastikan aspek kebajikan dan kesihatan komuniti terus diberi perhatian, khususnya dalam membantu golongan yang berdepan kesukaran dalam kehidupan seharian.

“Kita berharap sumbangan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban serta memberi manfaat kepada para penerima dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut menggalakkan penduduk setempat supaya tidak teragak-agak menghubungi JAKKSA sekiranya memerlukan bantuan kebajikan pada masa depan.
Sementara itu, Tuai Rumah Maluda, Mana, merakamkan penghargaan kepada JAKKSA atas keprihatinan dan kesudian memilih Rumah Maluda sebagai lokasi pelaksanaan program berkenaan.
Menurutnya, nilai sebenar sumbangan bukan sekadar terletak pada bantuan yang diberikan, tetapi turut membawa mesej penting mengenai semangat persaudaraan, keprihatinan dan budaya saling membantu dalam masyarakat.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan demi memastikan kebajikan penduduk rumah panjang sentiasa mendapat perhatian.
Terdahulu, ketibaan rombongan JAKKSA disambut mesra oleh Tuai Rumah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk Rumah Maluda.
Rombongan turut meluangkan masa kira-kira sejam dalam sesi ramah mesra bersama penduduk sebelum berangkat pulang.



