KUALA LUMPUR: Seramai 5,632 daripada 5,840 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Perkhidmatan Kontrak (CoS) lantikan 2023 telah menerima surat tawaran pelantikan tetap daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sehingga 12 November lalu.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, baki 208 pegawai terdiri daripada 29 pegawai yang masih dalam tindakan SPP, manakala 179 lagi belum memenuhi syarat yang ditetapkan.
Katanya, antara syarat yang masih belum dipenuhi ialah kelayakan ikhtisas serta kelayakan CEFR C1 bagi PPP dalam opsyen Bahasa Inggeris.
“SPP sudah meluluskan penyambungan kontrak kepada semua 5,840 PPP CoS lantikan 2023 yang masih berkhidmat selepas tamat tempoh kontrak asal.
“KPM berkata, langkah itu membolehkan semua pegawai terbabit meneruskan perkhidmatan dan menerima emolumen seperti biasa sementara menunggu proses pelantikan tetap diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Arahan Penempatan (AP) bagi lantikan tetap itu masih belum dikeluarkan kepada mana-mana pegawai setakat ini.
“AP akan dikeluarkan secara serentak pada Disember 2026 dan tiada pegawai didahulukan berdasarkan negeri atau daerah,” katanya.
KPM turut menjelaskan bahawa surat berkaitan pelanjutan kontrak yang diterima secara berperingkat tidak menjejaskan atau membatalkan tawaran pelantikan tetap yang sudah diterima.
Pegawai berkenaan diminta terus menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu pengeluaran AP.
KPM menghargai kesabaran serta komitmen guru CoS lantikan 2023 dan memberi jaminan proses penempatan tetap akan dimuktamadkan mengikut jadual.




