ARTIKEL

RASMI...NAwang Yusri (tiga kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Program KAPS Peringkat Bahagian Mukah, Daerah Mukah bagi Tahun 2026, hari ini.

Pendidikan seksual perlu diperluas kepada remaja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Sebanyak 1,770 kes kehamilan remaja direkodkan di Sarawak pada 2025, mendorong usaha memperkukuh pendidikan seksual dan advokasi menerusi Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS).

Pegawai Pendidikan Daerah Mukah, Awang Yusri Awang Adeni berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), jumlah itu merangkumi 6.6 peratus daripada keseluruhan kes baharu antenatal yang direkodkan dalam tempoh sama.

Antara pelajar yang menyertai program berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kes kehamilan remaja di Sarawak menurun sebanyak 11.5 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, melepasi sasaran kerajaan negeri untuk mengurangkannya sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program KAPS Peringkat Bahagian Mukah, Daerah Mukah bagi Tahun 2026 di Dewan Sri Utama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah di sini, hari ini.

Menurutnya, penurunan itu tidak bermakna usaha pencegahan boleh dihentikan kerana beberapa trend membimbangkan masih berlaku, termasuk peningkatan kes di beberapa bahagian serta 11 daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko.

Lebih membimbangkan, peratusan remaja hamil yang tidak berkahwin meningkat daripada 63.6 peratus pada 2024 kepada 70.2 peratus pada 2025, manakala peratusan remaja hamil yang tidak bersekolah turut meningkat daripada 94.6 kepada 95 peratus.

Katanya, sebanyak 62.9 peratus kes kehamilan remaja pada 2025 melibatkan golongan berusia 18 hingga 19 tahun yang masih memerlukan bimbingan, sokongan dan maklumat tepat untuk membuat keputusan bertanggungjawab.

Sepanjang 2016 hingga 2025, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) bersama Jawatankuasa One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) melaksanakan 83 siri program KAPS di sekolah menengah dan empat siri di sekolah rendah di seluruh Sarawak.

Usaha itu turut menunjukkan perkembangan positif apabila kes kehamilan dalam kalangan remaja yang masih bersekolah menurun daripada 142 kes pada 2016 kepada 63 kes pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak 55.6 peratus.

Dalam pada itu, program KAPS akan diteruskan di sekolah menengah dan rendah, selain diperluas ke peringkat komuniti menerusi KAPS Komuniti yang menyasarkan ibu bapa, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), remaja serta kanak-kanak, termasuk mereka di luar sistem pendidikan formal.

Awang Yusri berkata, pendidikan kesihatan seksual tidak seharusnya dianggap tabu kerana remaja perlu diberikan pengetahuan bersesuaian dengan usia untuk memahami risiko, mengenali batasan diri dan membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Menurutnya, tinjauan MPS semasa pelaksanaan program KAPS mendapati lebih 80 peratus remaja memperoleh maklumat mengenai seks dan pencegahannya daripada rakan sebaya serta internet, berbanding ibu bapa, doktor atau guru.

“Justeru, ibu bapa perlu mewujudkan komunikasi terbuka dan menyediakan ruang selamat untuk anak-anak bertanya, selain membimbing serta memantau tingkah laku mereka dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menstigma remaja hamil atau meletakkan kesalahan hanya kepada golongan perempuan kerana tanggungjawab mencegah kehamilan perlu difahami kedua-dua pihak.

Remaja yang berdepan kehamilan juga perlu diberikan sokongan, bimbingan dan perlindungan menerusi bantuan agensi berkaitan bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan mereka dan anak yang bakal dilahirkan.

RAKAM KENANGAN… Awang Yusri merakam kenangan bersama tetamu dan peserta selepas program itu.

BERITA LAIN

LIGA LUNDU 2026: Fadzio FT muncul juara

LUNDU: Fadzio FT menepati ramalan apabila muncul juara Liga Lundu 2026 selepas menewaskan Bajo Mix FC 2-0 pada aksi final di Kompleks Sukan Lundu, petang

BERITA TERBARU

LIGA LUNDU 2026: Fadzio FT muncul juara

LUNDU: Fadzio FT menepati ramalan apabila muncul juara Liga Lundu 2026 selepas menewaskan Bajo Mix FC 2-0 pada aksi final di Kompleks Sukan Lundu, petang