ARTIKEL

Debar menanti watikah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

APABILA musim pilihan raya menghampiri Sarawak, soalan yang paling sukar dijawab kadang-kadang datang daripada orang yang paling rapat. “Kali ini masih bertanding?” tanya seorang sahabat sambil mengacau kopi.

Si penyandang tersenyum. “Tunggulah pengumuman.” Jawapan itu mengambil masa dua saat. Memikirkan jawapannya sebelum tidur mungkin mengambil masa dua jam. Lebih-lebih lagi apabila sahabat tadi menyambung, “Saya dengar ada nama baharu.” Ada yang tidak tidur lena dan menanti dengan penuh debaran.

Di meja lain, seseorang yang sudah lama menyimpan impian untuk bertanding sedang mendengar cerita yang sama. Bezanya, nama baharu itu mungkin namanya. Sejak kebelakangan ini, ada yang mula memanggilnya “YB”. Dia ketawa, kononnya malu. Namun, apabila pulang, gelaran itu masih terngiang-ngiang.

Begitulah musim menunggu. Orang yang sudah ada kerusi bimbang kehilangannya. Orang yang belum pernah duduk di kerusi itu pula sudah membayangkan bagaimana rasanya.

Bukan sedikit yang menyimpan angan-angan untuk menjadi YB. Menjadi YB, sebenarnya bukannya mudah, tetapi saya hairan, mengapa begitu ramai yang berangan-angan untuk digelar YB?

Beberapa hari lalu, saya sempat bersama-sama dengan seorang YB, dari awal pagi sampai lewat petang, menyaksikan sendiri bagaimana mencabarnya tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Bagi penyandang, debarannya ada sejarah. Dia pernah berkempen dari rumah ke rumah, menghadiri mesyuarat kampung dan menerima panggilan ketika orang lain sudah tidur. Ada urusan yang berjaya diselesaikannya. Ada yang masih tersangkut di pejabat sebuah agensi.

Dia tentu berharap khidmat sepanjang penggal itu memberinya peluang sekali lagi. Dalam politik, bagaimanapun, disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Satu pengumuman boleh mengubah segala perkiraan.

Bagi yang menyimpan impian pula, menunggu juga ada seninya. Terlalu kerap kelihatan di majlis, orang kata kempen sudah bermula. Jarang kelihatan, orang kata belum cukup dikenali. Jika dia rajin turun ke kawasan sejak bertahun-tahun dahulu, penduduk biasanya tahu.

Mereka juga ingat siapa yang mula datang apabila ura-ura pilihan raya bertiup. Di kampung dan rumah panjang, ingatan orang kadang-kadang lebih panjang daripada ingatan orang politik.

Mengapa mereka begitu mahu menjadi calon? Ada yang sudah lama bergelut dengan masalah setempat dan mahu membawa suara penduduk ke Dewan Undangan Negeri.

Seorang yang berkali-kali membantu keluarga berurusan dengan pejabat tanah tentu memahami betapa pentingnya dasar yang jelas. Seorang yang melihat anak muda berhijrah kerana kekurangan peluang pekerjaan mungkin mahu mempengaruhi keputusan pembangunan.

Bagi mereka, kerusi DUN memberi ruang untuk membawa masalah yang selama ini berlegar di meja pejabat ke tempat keputusan dibahaskan.

Ada pula yang melihat pencalonan sebagai pengiktirafan selepas bertahun-tahun bekerja untuk parti. Mereka pernah memasang bendera, mengurus program dan mengetuk pintu ketika calon datang berkempen. Apabila tiba giliran mereka menawarkan diri, wajar juga mereka berharap pengalaman itu diambil kira.

Dan, ada yang tertarik pada kedudukan, pengaruh dan gelaran. Gelaran YB memang sedap didengar di majlis. Ujian sebenar datang apabila telefon berbunyi pada malam Ahad dan orang di hujung talian sudah tiga kali menceritakan masalah yang sama.

Apakah yang patut ditimbang sebelum seseorang menerima watikah daripada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg?

Bagi saya, pertimbangan pertama ialah penerimaan masyarakat di kawasan yang bakal diwakilinya. Ketua parti boleh mendengar pandangan daripada banyak pihak.

Penduduk pula mempunyai ukuran sendiri. Mudahkah orang itu dihubungi? Tahukah dia mengapa jalan yang sama kerap rosak? Pernahkah dia duduk mendengar orang yang marah tanpa segera mencari alasan untuk beredar?

Adakah dia anak tempatan? Jawapan kepada soalan seperti ini lebih bermakna daripada tepukan dalam satu majlis.

Bagi penyandang, rekod khidmat sepanjang penggal memberi asas untuk menilai. Berapa banyak aduan yang disusuli sehingga selesai? Apabila sesuatu projek tertangguh, adakah dia kembali menerangkan sebabnya kepada penduduk?

Dalam persidangan DUN, sejauh mana dia membawa isu kawasannya dan meneliti dasar yang memberi kesan kepada rakyat? Bagi muka baharu, pengalaman mengurus persatuan, berkhidmat dalam profesion atau menyelesaikan masalah komuniti boleh menunjukkan cara dia bekerja dan memikul tanggungjawab.

Integriti juga mesti ditimbang. Calon perlu bersedia menjelaskan kepentingan perniagaannya jika timbul potensi konflik, menerima teguran dan menjaga tutur kata ketika berdepan kritikan. Kebolehan bekerja dengan jentera parti dan rakan dalam gabungan turut penting.

Ketika berkempen, dia memerlukan orang yang sanggup bekerja bersamanya. Selepas menang, dia perlu berurusan dengan agensi kerajaan serta melayani penduduk yang mungkin mengundinya, mungkin juga tidak. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing terpakai sepanjang penggal.

Kemampuan memenangi kerusi tentu menjadi pertimbangan. Namun, daya saing seseorang calon perlu dilihat dalam konteks kawasannya. Di kerusi yang meliputi banyak penempatan berjauhan, kemampuan turun secara konsisten membawa makna yang besar.

Di bandar, pengundi mungkin mahu mendengar pendiriannya tentang banjir kilat, perumahan atau peluang pekerjaan.

Dalam kedua-dua keadaan, calon perlu tahu batas kuasanya. Orang boleh menerima jawapan bahawa sesuatu masalah mengambil masa. Yang sukar diterima ialah apabila janji dibuat dengan mudah dan penjelasan pula susah diperoleh.

Sementara menunggu, elok juga diingat dua peribahasa ini. Jangan mengira anak ayam sebelum menetas. Jangan sampai melihat burung terbang dipipiskan lada. Nama yang disebut dalam perbualan belum tentu menjadi nama yang diumumkan waktu penyerahan watikah.

Bagi penyandang, teruskan kerja yang masih menunggu. Bagi yang berhajat, teruskan khidmat yang sudah dimulakan. Penduduk akan dapat melihat siapa yang masih datang menjenguk setelah namanya diumumkan dan siapa yang masih datang apabila namanya tiada.

Akhirnya, ada yang akan pulang dengan watikah dan ada yang pulang dengan cerita untuk dipendam. Malam pengumuman tentu panjang bagi kedua-duanya.

Esoknya, kedai kopi tetap buka. Orang yang bertanya, “Kali ini masih bertanding?” mungkin datang lagi. Jika jawapannya ya, besar kemungkinan dia ada soalan susulan, “YB, bila kita boleh turun tengok jambatan kampung itu?”

Dato Dr Jeniri Amir ialah pengamat politik dan meminati apa-apa yang berkaitan dengan politik dan orang politik.

BERITA LAIN

Kerusi DUN di Parlimen Bandar Kuching panas

Di atas kertas, tiga kerusi “bandar” di Parlimen Bandar Kuching bakal menyaksikan pertembungan tumpuan. Sudah tentu ia melibatkan dua musuh tradisi — DAP dan SUPP.

Bumi datar dan tembok ais

MENARIK tentang manusia, semakin banyak teknologi digunakan untuk menjelaskan dunia, semakin banyak pula persoalan muncul yang mencabar penjelasan tersebut. Di tengah-tengah kemajuan sains dan penerokaan

BERITA TERBARU

Kerusi DUN di Parlimen Bandar Kuching panas

Di atas kertas, tiga kerusi “bandar” di Parlimen Bandar Kuching bakal menyaksikan pertembungan tumpuan. Sudah tentu ia melibatkan dua musuh tradisi — DAP dan SUPP.