SARIKEI: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran dan menyelamatkan sebuah rumah panjang 34 pintu di Rumah Sibar, Lubuk Lemba Ulu, di sini daripada musnah sepenuhnya, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi itu, empat bilik rumah panjang berkenaan terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 1.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei bergegas ke lokasi.
Katanya, operasi turut mendapat bantuan BBP Bintangor serta 42 anggota Pasukan Bomba Sukarela Lubuk Lemba.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan empat bilik dengan sebuah daripadanya mengalami kerosakan paling teruk apabila kira-kira 60 peratus bahagian dapur dan ruang makan terbakar.
“Sebuah lagi bilik mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus membabitkan kerangka bumbung, manakala dua bilik lain masing-masing rosak sekitar 30 dan lima peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tekanan air yang kuat di lokasi turut memudahkan operasi pemadaman dan pasukan bomba tidak perlu menggunakan pam.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 3.30 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 4 pagi.
“Pemeriksaan susulan turut dijalankan bagi memastikan tiada bara api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang,” katanya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.


