ARTIKEL

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyalakan pelita minyak (kuthu vilakku) pada Majlis Makan Malam Deepavali 2026 sambil diperhatikan tetamu lain. Foto Ramidi Subari.

Keharmonian beragama asas perpaduan dan kestabilan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keharmonian beragama yang sekian lama menjadi kekuatan Sarawak perlu terus dipelihara sebagai asas perpaduan dan kestabilan bagi memastikan pembangunan negeri mencapai aspirasi menjelang 2030.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pendekatan negeri ini meraikan kepelbagaian agama dan budaya membolehkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama serta menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (tengah) bersama isterinya, Datin Amar Enn Ong (lima kiri), dan tetamu lain ketika memotong kek sempena sambutan Deepavali. Foto Ramidi Subari.

Beliau berkata, sokongan kerajaan terhadap penganjuran sambutan pelbagai perayaan agama mencerminkan komitmen untuk memastikan setiap komuniti terus dihargai sebagai sebahagian daripada keluarga besar Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Deepavali 2026 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Sim berkata, keharmonian dinikmati Sarawak perlu dipertahankan, khususnya ketika landskap politik di bahagian lain negara memperlihatkan perpecahan dan polarisasi.

Perbezaan pendekatan mengurus kepelbagaian masyarakat perlu ditangani secara bijaksana bagi memastikan perpaduan dan kestabilan terus terpelihara.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa institusi agama dan komuniti bertanggungjawab membentuk nilai kehidupan generasi muda, selain pendidikan formal di sekolah.

Nilai yang dibawa menerusi Deepavali, termasuk kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, ilmu mengatasi kejahilan dan keamanan mengatasi konflik, perlu diterapkan dalam kehidupan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa generasi muda supaya bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh agar dapat menyumbang kepada pembangunan negeri.

Dr Sim berkata, Sarawak perlu terus kuat dan bersatu bagi memastikan negeri ini mencapai kemajuan lebih besar menjelang 2030.

Beliau berharap masyarakat Hindu turut memainkan peranan dalam merealisasikan aspirasi berkenaan serta berbangga dengan sumbangan mereka terhadap pembangunan negeri.

Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Deepavali 2026. Foto Ramidi Subari.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU