ARTIKEL

Razi menyampaikan cenderahati kepada Hasbi sebagai tanda penghargaan pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Peringkat DUN Saribas di Dewan Perpaduan Debak, hari ini. Foto: OSMAN RAZALI

Razi ingatkan lesen memandu bukan tiket bertindak sesuka hati

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Lesen yang ada di tangan bukan tiket untuk memandu sesuka hati, apatah lagi menjadikan jalan raya sebagai gelanggang menunjukkan keberanian melalui aksi berbahaya dan berlumba haram.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, lesen itu sebaliknya merupakan simbol kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan kerajaan kepada individu untuk mematuhi undang-undang serta mengamalkan sikap berhemah ketika berada di jalan raya.

Menurutnya, setiap pemegangnya perlu memahami perbezaan antara keberanian dengan tindakan cuai yang bukan sahaja mengancam keselamatan diri sendiri, malah turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Perkembangan mutakhir yang dipaparkan menerusi media sosial dan laporan berita memperlihatkan gejala samseng jalanan serta perlumbaan haram masih membimbangkan, termasuk di Sarawak.

“Lebih mengecewakan, terdapat segelintir individu yang bukan sahaja melakukan aksi berbahaya seperti ‘Superman’ dan ‘Wheelie’, malah berbangga merakam serta memuat naik perbuatan tersebut ke media sosial seolah-olah mahu mencabar kewibawaan pihak berkuasa.

“Justeru, saya ingin mengingatkan bahawa apabila sudah memiliki lesen memandu, jangan sesekali beranggapan jalan raya itu milik sendiri sehingga boleh melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati,” katanya.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas itu berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Peringkat DUN Saribas yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, di Dewan Perpaduan Debak, hari ini.

Tegasnya, penerima bantuan menerusi program berkenaan perlu menghargai peluang dan kepercayaan yang diberikan dengan tidak menyalahgunakan lesen untuk terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Sebaliknya, kata Razi, kemudahan itu perlu dimanfaatkan untuk memperbaiki taraf kehidupan, termasuk membantu urusan keluarga seperti membawa ibu bapa mendapatkan rawatan di hospital apabila diperlukan.

“Gunakan lesen ini untuk pergi bekerja, mencari rezeki yang halal dan membina kehidupan yang lebih baik.

“Jadikan pemberian lesen ini sebagai alat untuk menunaikan tanggungjawab, seterusnya menjadi anggota masyarakat yang dihormati kerana disiplin dan budi pekerti, bukannya dipandang serong akibat sikap lalai serta mementingkan diri sendiri.

“Buktikan golongan penerima bantuan lesen di kawasan Saribas mampu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, sejak 2023, seramai 1,853 individu di kawasan Saribas berjaya memperoleh lesen memandu menerusi program bantuan berkenaan.

“Jumlah ini mewakili ribuan kisah kehidupan yang kini mempunyai peluang lebih luas untuk bergerak ke hadapan, sama ada bagi memenuhi keperluan harian, mendapatkan pekerjaan mahupun meneroka peluang dalam pelbagai bidang.

“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelaksanaan Program Bantuan Lesen Memandu ini di Saribas,” katanya.

BERITA LAIN

Pendidikan jadi landasan kemajuan diri

BAU: Setiap individu mempunyai peluang untuk berjaya dan memajukan diri, dengan pendidikan menjadi antara landasan utama untuk mencapai kejayaan serta membina masa depan lebih baik.

BERITA TERBARU