ARTIKEL

SNOWDAN dan Doris bergambar kenangan bersama-sama tetamu lain pada Majlis Perasmian Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 di Panggau Pantu, dekat sini, malam tadi. Foto. UKAS

Snowdan tekankan perluasan jalan raya dan penambahbaikan bekalan air di Pantu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PANTU: Kawasan seluas 50 ekar di Sungai Merah dekat sini dikenal pasti sebagai tapak pembangunan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Daerah Pantu, yang bakal memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan serta merancakkan pembangunan daerah berkenaan.

Bagi merealisasikan perancangan itu, Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyediaan tapak IAC berkenaan, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.

“Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM5 juta bagi kerja-kerja penyediaan tapak pembinaan IAC Daerah Pantu di atas tanah seluas 50 ekar berdekatan Kampung Sungai Merah.

“Jika dapat direalisasikan kelak, kemudahan ini secara tidak langsung akan memacu pembangunan Daerah Pantu menerusi perancangan yang lebih menyeluruh, pelaksanaan secara berfasa serta kerjasama erat antara kerajaan dengan penduduk setempat,” katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin berkata demikian ketika merasmikan Pesta Pantu 2026 Edisi Ke-17 di Panggau Pantu, dekat sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperluas rangkaian jalan raya serta menambah baik sistem bekalan air bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan penduduk setempat.

Antara projek infrastruktur utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Jalan Ipoh-Tuba-Muding-Mentu dengan kos RM265 juta.

Projek berkenaan kini mencatatkan kemajuan fizikal antara 15 hingga 20 peratus dan dijangka meningkatkan tahap kesalinghubungan serta memudahkan pergerakan penduduk apabila siap kelak.

Menyentuh Pesta Pantu 2026, Snowdan berkata, penganjuran acara itu bukan sahaja menjadi wadah memelihara warisan dan budaya masyarakat setempat, malah berperanan sebagai platform untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar serta perancangan pembangunan Kerajaan Sarawak kepada masyarakat.

Dalam perkembangan berasingan, sebanyak RM331 juta nilai cadangan projek pembangunan telah dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak bagi menangani kekurangan infrastruktur pertanian, menambah baik kemudahan awam serta merangsang potensi ekonomi Daerah Pantu.

Menurut Pegawai Daerah Pantu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Pantu 2026, Raca Mulong, senarai cadangan berkenaan dirangka berdasarkan keperluan penduduk di peringkat akar umbi, khususnya melibatkan kemudahan jalan raya dan jambatan untuk menghubungkan kawasan pertanian.

“Penduduk mempunyai tanah dan menjalankan aktiviti pertanian, namun masih berdepan kekangan infrastruktur seperti jalan pertanian dan jambatan yang menyukarkan mereka mengusahakan tanah masing-masing,” katanya.

Antara kawasan yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan akses pertanian ialah Sebemban dan Bajaong bagi memudahkan penduduk mengusahakan tanah serta mengangkut hasil pertanian.

Di Pekan Pantu pula, cadangan pembangunan merangkumi penyediaan kawasan permainan, padang bola sepak dan kemudahan parkir bagi memenuhi keperluan rekreasi serta keselesaan penduduk.

Sementara itu, kawasan Sungai Tengah berpotensi dibangunkan menerusi penghasilan produk makanan berasaskan itik sebagai salah satu tarikan ekonomi tempatan.

Bagi Lachau, perancangan pembangunan memberi tumpuan kepada penyediaan pelan induk serta penambahbaikan kawasan perniagaan dan kemudahan parkir bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Sri Sophia Doris Brodie; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Alfred Geling Ason; Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Anthony Abell Chendan dan Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam.

BERITA LAIN

Pendidikan jadi landasan kemajuan diri

BAU: Setiap individu mempunyai peluang untuk berjaya dan memajukan diri, dengan pendidikan menjadi antara landasan utama untuk mencapai kejayaan serta membina masa depan lebih baik.

BERITA TERBARU