BAU: Setiap individu mempunyai peluang untuk berjaya dan memajukan diri, dengan pendidikan menjadi antara landasan utama untuk mencapai kejayaan serta membina masa depan lebih baik.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata, peluang pendidikan yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap individu tanpa mengira latar belakang keluarga atau kedudukan ekonomi.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai platform dan peluang pendidikan bagi membolehkan rakyat meningkatkan potensi diri, sekali gus membina kehidupan yang lebih baik menerusi ilmu pengetahuan dan kemahiran.
“Apabila kita bercakap mengenai pendidikan, kita semua berada pada landasan yang sama. Setiap individu mempunyai peluang untuk berjaya, namun kejayaan itu bergantung kepada usaha masing-masing.
“Kerajaan Sarawak menyediakan banyak platform dan peluang untuk kita maju. Jadi, tiada siapa yang boleh menghalang kita daripada mencapai kejayaan sekiranya kita sendiri berusaha untuk mendapatkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemangkin Pembangunan Insan Daerah Bau anjuran Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) dengan kerjasama Pejabat Daerah Bau dan Yayasan Sarawak di Pusat Budaya Bidayuh, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus YAKIN, Jolly Marikan dan Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi.
Menurut Henry yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, pendidikan bukan sahaja memberikan ilmu pengetahuan, malah turut membentuk sahsiah, disiplin, keyakinan diri serta kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Katanya, setiap anak mempunyai potensi dan kebolehan tersendiri yang perlu digilap menerusi peluang pendidikan yang adil serta sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa memberikan perhatian terhadap pendidikan anak-anak kerana sokongan, dorongan dan pemantauan keluarga memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan mereka.
“Setiap anak mempunyai potensi dan kebolehan masing-masing. Oleh itu, peluang pendidikan yang adil serta sokongan berterusan perlu diberikan supaya mereka dapat mengembangkan potensi diri tanpa mengira latar belakang keluarga atau kedudukan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Henry berkata, YAKIN yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Yayasan Sarawak berperanan membantu mengenal pasti golongan dan keluarga miskin, khususnya bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada peluang pendidikan.
Beliau berkata, usaha berkenaan penting dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat serta memastikan lebih ramai anak Sarawak mendapat manfaat daripada inisiatif pembangunan pendidikan yang disediakan.
Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara YAKIN dan Pejabat Daerah Bau dapat diteruskan serta diperkukuh bagi memastikan lebih ramai golongan sasaran, khususnya anak-anak dan keluarga yang memerlukan, mendapat manfaat daripada program seumpamanya.



