KUCHING: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi asas kekuatan Sarawak untuk mempertahankan hak negeri serta memperkukuh keupayaan menentukan hala tuju pembangunan sendiri, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau menyifatkan MA63 sebagai ‘kaki’ yang membolehkan Sarawak berdiri teguh, sekali gus menjadi landasan perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam menentukan hala tuju negeri.

“Dalam politik juga begitu. Kita berpegang kepada MA63 sebagai asas kekuatan. Itulah landasan kita. Sebab itu PBB kuat kerana mempunyai asas yang kukuh,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan 2026 bertemakan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Presiden PBB itu menambah bahawa keupayaan Sarawak memperkukuh kedudukan kewangan negeri menjadi antara faktor penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan, khususnya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyat.
Abang Johari berkata, sebelum ini pelaksanaan Program Elektrifikasi Luar Bandar turut berdepan kekangan apabila kemudahan asas seperti tiang dan kabel elektrik sudah disediakan, tetapi bekalan masih belum disambungkan ke rumah penduduk.
Katanya, keadaan itu berlaku di beberapa kawasan termasuk Samarahan dan Saribas, khususnya di penempatan rumah panjang yang masih belum menikmati bekalan elektrik meskipun infrastruktur asas sudah dibina.
“Tiang dan kabel elektrik sudah dipasang, tetapi bekalan masih belum disambungkan ke rumah panjang dan kediaman penduduk,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak mengambil langkah meningkatkan hasil sendiri, termasuk melaksanakan cukai jualan negeri terhadap produk petroleum PETRONAS.
Ujarnya, pertikaian berhubung pelaksanaan cukai berkenaan dibawa ke mahkamah sebelum keputusan memihak kepada Sarawak, sekali gus membolehkan negeri menambah pendapatan.
“Anak Sarawak jangan dipandang rendah. Kita membawa perkara itu ke mahkamah dan keputusan memihak kepada kita. Hasilnya, Sarawak memperoleh sumber pendapatan tambahan,” tegasnya.
Beliau berkata, peningkatan hasil negeri itu membolehkan kerajaan mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur, termasuk pembinaan 22 jambatan bagi meningkatkan jaringan perhubungan antara kawasan.
Antara projek yang disebut ialah Jambatan Sejingkat, selain pembangunan rangkaian jalan raya dan jambatan yang menghubungkan Kuching ke Kampung Tanjung Bako, Kampung Asajaya hingga Tanjung Embang.
Abang Johari berkata, pembangunan Tanjung Embang turut dirancang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan pelabuhan dan keupayaan pengendalian kargo Sarawak.
Katanya, pelabuhan baharu itu dirancang kira-kira lapan kilometer ke laut bagi mendapatkan kawasan perairan yang lebih dalam, sekali gus membolehkan kapal bersaiz besar berlabuh dan menyokong peningkatan aktiviti eksport.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan Sarawak perlu terus bergerak ke hadapan dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi dan teknologi, termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, kejayaan pembangunan negeri bukan hasil usaha seorang pemimpin, sebaliknya kesinambungan perjuangan pemimpin terdahulu yang diteruskan menerusi PBB bersama rakan komponennya dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kejayaan kita hari ini bukan kerana saya seorang. Kejayaan kita adalah kejayaan PBB dan juga rakan kita dalam GPS,” ujarnya.
Menyentuh persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13, Abang Johari menyatakan sasaran GPS untuk memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya mesti sebut, kita mesti menang 82 kerusi. Seperti yang diingatkan Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof, seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu meneruskan perjuangan demi Sarawak. Perahu sudah dihulur, kayuh. Berjuang demi Sarawak,” jelasnya.



