ARTIKEL

HASBI, Razi bergambar kenangan bersama-sama peserta paling veteran dan paling muda yang menerima lesen masing-masing pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Peringkat DUN Saribas di Dewan Perpaduan Debak, hari ini. Foto. OSMAN RAZALI

Kemalangan maut jalan raya jejas ekonomi negara RM30 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: Kemalangan maut di jalan raya menyebabkan kerajaan menanggung kerugian ekonomi yang dianggarkan mencecah RM30 bilion, iaitu menyamai sebahagian besar perbelanjaan mengurus kerajaan bagi 2025.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, jumlah kerugian itu menggambarkan betapa besarnya beban ekonomi yang terpaksa ditanggung negara akibat kemalangan maut.

HASBI menyampaikan hadiah cabutan bertuah berupa basikal kepada Ezani Hanif pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Peringkat DUN Saribas di Dewan Perpaduan Debak, hari ini. Foto. OSMAN RAZALI

Menurutnya, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebanyak 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang 2025, dengan kira-kira 66 peratus daripadanya melibatkan penunggang motosikal.

“Statistik kemalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dirujuk dalam kajian MIROS turut menunjukkan secara purata 13 penunggang motosikal maut setiap hari di Malaysia.

“Dianggarkan kerajaan menanggung kerugian sebanyak RM30 bilion akibat kemalangan maut, iaitu jumlah yang menyamai sebahagian besar perbelanjaan mengurus kerajaan bagi 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di Dewan Perpaduan Debak, hari ini.

Mengulas situasi di Sarawak, Hasbi berkata sebanyak 1,973 kemalangan motosikal direkodkan sepanjang tahun lalu, termasuk 230 kes kemalangan maut yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Tegasnya, setiap angka yang direkodkan bukan sekadar statistik, sebaliknya menggambarkan kehilangan nyawa insan tersayang yang meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa.

Sehubungan itu, beliau menegaskan aspek keselamatan ketika menunggang motosikal, khususnya pemakaian topi keledar, tidak boleh sama sekali dipandang ringan atau dikompromi.

“Dapatan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan MIROS membuktikan pemakaian topi keledar dengan betul mampu mengurangkan risiko kecederaan parah di kepala sehingga 70 peratus, selain mengurangkan risiko kematian sehingga 40 peratus.

“Justeru, saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia, khususnya semua penerima bantuan lesen, supaya sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati ketika menunggang motosikal.

“Pastikan topi keledar yang digunakan mematuhi piawaian keselamatan serta dipakai dan dipasang dengan betul. Jangan sesekali mengambil mudah perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa,” ujarnya.

Menyentuh Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2, Hasbi berkata sejak diperkenalkan di Sarawak pada 2024, program itu berjaya memberi manfaat kepada 11,936 peserta pada tahun pertama, sebelum meningkat kepada 14,593 peserta pada 2025.

Katanya, peningkatan penyertaan itu membuktikan masyarakat Sarawak turut mendapat perhatian dan peluang dalam agenda pembangunan kerajaan, khususnya bagi meningkatkan akses kepada pemilikan lesen memandu secara sah.

“Pada majlis hari ini, seramai 1,156 peserta terdiri daripada 479 lelaki dan 677 wanita berjaya mendapatkan lesen masing-masing,” tambahnya.

Beliau menambah, setakat pertengahan November tahun ini, seramai 13,997 orang di seluruh Sarawak telah menerima manfaat menerusi program berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga penyandang kerusi DUN Saribas, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam serta Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili turut hadir sama.

BERITA LAIN

Pesawat dari China terkandas akibat cuaca buruk

KUALA NERUS: Sebanyak 207 penumpang dan kru Qingdao Airlines (QW907) dari China terkandas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) akibat cuaca buruk. Ketua Polis Daerah

BERITA TERBARU