MUKAH: Kebakaran di tapak pelupusan sampah di Jalan Oya-Dalat yang semakin merebak susulan cuaca panas dan berangin menyebabkan operasi pemadaman diteruskan hari ini.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.24 pagi semalam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan operasi pemadaman berdepan pelbagai kekangan, termasuk ketiadaan liputan komunikasi serta sumber air terbuka yang terhad berikutan keadaan parit di kawasan berkenaan yang berlumpur.
“Operasi pemadaman turut menggunakan sebuah jengkaut milik kontraktor, namun kebakaran semakin merebak susulan cuaca panas dan berangin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Berdasarkan keadaan semasa, operasi pemadaman dihentikan sementara pada jam 5 petang semalam sebelum disambung semula hari ini.
Setakat ini, kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa.



