KUALA NERUS: Sebanyak 207 penumpang dan kru Qingdao Airlines (QW907) dari China terkandas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) akibat cuaca buruk.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, berkata pesawat Airbus A321neo itu sepatutnya mendarat di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata pesawat itu dilencongkan ke LTSM selepas lebih sejam berlegar di udara akibat cuaca buruk.
Penerbangan itu selamat mendarat di LTSM kira-kira pukul 5.30 petang selepas tidak dapat dilencongkan ke Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang (LTAAP) kerana kekurangan bahan api seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata semua penumpang ditempatkan sementara di tiga hotel sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, manakala bekalan minyak pesawat perlu diuruskan dari Kuantan, Pahang, atau Kota Bharu, Kelantan, kerana LTSM tidak mempunyai perkhidmatan penyambungan semula bahan api.



