BETONG: Dua balai bomba dengan kekuatan 20 pegawai dan anggota mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan 90 peratus struktur Rumah Panjang Matop di sini, semalam.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman), Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, faktor struktur rumah panjang yang diperbuat daripada kayu serta keadaan cuaca berangin menyebabkan api merebak dengan pantas, sekali gus menyukarkan operasi pemadaman.

“Kita menerima panggilan kecemasan pada 5.14 petang dan tiba di lokasi kejadian pada 5.34 petang.
“Dengan kekuatan 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong serta bantuan BBP Saratok, operasi berjaya dikawal pada 9.35 malam, iaitu kira-kira empat jam selepas ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, malam tadi.
Menurutnya, rumah panjang tidak kekal yang mempunyai 28 pintu dengan keluasan keseluruhan 53,792 kaki persegi itu mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan kejadian berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Rais berkata, operasi yang diketuai Komander Operasi Kanan, PPgB Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi itu menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah kenderaan pikap dan sebuah lori tangki.
Operasi turut dibantu 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Betong dan Spaoh, selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Turut hadir meninjau kejadian ialah Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu serta Pegawai Operasi Zon Tiga (Sri Aman), PPgB Shaibullah Sabeli.




