KUCHING: Cadangan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) untuk mengehadkan jawatan Premier kepada dua penggal merupakan pendirian parti itu sendiri dan tidak mempunyai kaitan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Premier yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata setiap parti mempunyai hak untuk mengemukakan manifesto masing-masing, termasuk menentukan cadangan berkaitan kepimpinan kerajaan negeri.
“Itu ikut suka merekalah, tidak ada kena-mengena dengan GPS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari turut mengingatkan bahawa PBDS juga pernah mengemukakan Buku Biru, justeru cadangan yang dibawa parti itu perlu dilihat dalam konteks pendirian politik mereka sendiri.
“PBDS ada Buku Biru juga, jangan lupa,” katanya sambil mengulas mengenai manifesto yang dibangkitkan Presiden PBDS, Dr John Brian Anthony.
Sebelum ini, John Brian ketika mengumumkan sebahagian manifesto parti itu berkata, PBDS mahu jawatan Premier dihadkan kepada dua penggal bagi mengelakkan seseorang pemimpin memegang jawatan berkenaan terlalu lama.
Beliau turut menggariskan beberapa cadangan lain, termasuk meningkatkan peruntukan pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada RM150 juta setahun dengan sasaran menyelesaikan pengukuran tanah NCR dan memasukkannya ke dalam Seksyen 18 dalam tempoh lima tahun.
Selain itu, PBDS turut mencadangkan supaya jawatan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak diberikan kepada individu daripada masyarakat Dayak serta mengehadkan portfolio menteri yang boleh dipegang Premier kepada satu kementerian sahaja.
Dr John Brian turut membangkitkan persoalan mengenai pemusatan kuasa dalam pentadbiran negeri, khususnya apabila Premier mempunyai peranan dalam perancangan, kelulusan dan pembayaran projek.
Bagaimanapun, Abang Johari menegaskan cadangan manifesto berkenaan merupakan urusan PBDS dan tidak seharusnya dikaitkan dengan GPS.



