KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka mengumumkan senarai penuh calon pada 25 November ini bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Premier yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pengumuman itu akan merangkumi kesemua 82 calon yang bakal mewakili gabungan berkenaan pada PRU Sarawak Ke-13.
“Kita akan kongsi dengan anda (media) pada 25 November. Semua 82. Tunggulah, nanti ada pejabat saya memanggil anda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai calon, Abang Johari yang juga Presiden PBB memberi bayangan gabungan itu akan menampilkan keseimbangan antara pemimpin muda dengan calon berpengalaman bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kekuatan parti.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama calon yang bakal dikekalkan atau digugurkan, sebaliknya meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi pada 25 November ini.
Sebelum ini, Abang Johari turut memberi bayangan empat penyandang kerusi DUN daripada PBB berpeluang mempertahankan kerusi masing-masing, iaitu Datuk Ibrahim Baki (Satok), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong), Datuk Hamzah Ibrahim (Stakan) dan Datuk Martin Ben (Kedup).
Bagaimanapun, bayangan berkenaan bukan pengesahan rasmi pencalonan mereka kerana keputusan muktamad hanya akan diketahui menerusi pengumuman GPS kelak.
Dalam perkembangan sama, ketika ditanya mengenai kemungkinan lebih ramai calon wanita diketengahkan pada pilihan raya kali ini, Abang Johari tidak memberikan sebarang pengesahan dan terus berahsia mengenai komposisi calon.
Beliau turut mengingatkan bahawa keutamaan perjuangan parti ialah membawa amanah PBB dan memastikan gabungan itu bersedia menghadapi pilihan raya pada 12 Disember ini.
Mengenai Konvensyen Khas PBB Zon Selatan itu, beliau memberitahu bahawa konvensyen itu merupakan siri terakhir selepas penganjuran konvensyen sama di Zon Utara dan Tengah yang memberi ruang kepada kepimpinan parti mendapatkan maklum balas ahli serta menilai perkembangan pembangunan di kawasan masing-masing.
Katanya, maklum balas berkenaan penting sebagai panduan kepada parti dalam membuat persediaan menghadapi pilihan raya, selain memperkukuh kesiapsiagaan jentera GPS yang dianggotai empat parti komponen, iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Kita berjuang ini atas nama PBB dan kita membawa amanah PBB. Sudah tentu ada mungkin pertukaran, yang mana kita mempunyai yang muda dan yang berpengalaman sebagai calon-calon,” tegasnya.




