ARTIKEL

Ali Hikmatullah menyampaikan bakul makanan sumbangan Pusat Khidmat N.67 Jepak kepada salah seorang penerima.

Komuniti perlu berganding bahu perangi penyalahgunaan dadah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah memerlukan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dan tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa semata-mata, kata Pegawai Daerah Bintulu, Awangku Mohamed Nizam Awang Ali Bohan.

Beliau berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, ibu bapa dan penduduk setempat amat penting bagi memastikan persekitaran komuniti, khususnya kawasan kampung, bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, masyarakat perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam usaha pencegahan, termasuk mengambil berat terhadap pergaulan anak-anak, mengenal pasti perubahan tingkah laku serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kegiatan berkaitan dadah.

“Isu penyalahgunaan dadah bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja merosakkan kesihatan fizikal dan mental individu, malah turut menghancurkan institusi kekeluargaan, menjejaskan keharmonian masyarakat serta masa depan negara.

“Lebih membimbangkan, apabila seseorang terjebak dengan dadah, seluruh ahli keluarga termasuk ibu bapa, pasangan dan anak-anak turut menerima kesan daripada permasalahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang disampaikan Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Bintulu, Ali Hikmatullah Khan Ali Sabri Khan sempena Program Komuniti Bebas Dadah di Dewan Sri Kemunting, Kampung Kemunting, di sini pada Ahad.

Awangku Mohamed Nizam berkata, ibu bapa perlu menjadi benteng pertama dalam melindungi anak-anak daripada pengaruh negatif dengan memberikan perhatian, kasih sayang, pendidikan agama serta memantau pergaulan mereka secara berterusan.

Menurutnya, langkah pencegahan perlu bermula dari rumah dan tidak seharusnya menunggu sehingga anak-anak terjebak dengan gejala berkenaan sebelum tindakan diambil.

Beliau turut mengingatkan golongan belia supaya mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah seperti bersukan, program kemasyarakatan dan kegiatan pembangunan diri bagi mengelakkan mereka terdedah kepada pengaruh negatif.

Dalam pada itu, beliau menegaskan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah tidak seharusnya dihukum atau dipinggirkan, sebaliknya perlu diberikan sokongan untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan menerusi saluran yang betul, termasuk khidmat nasihat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau turut menyambut baik penganjuran pertandingan mewarna bertemakan “Benci Dadah” sebagai pendekatan mendidik kanak-kanak mengenai bahaya penyalahgunaan dadah sejak usia muda.

Beliau berharap Program Komuniti Bebas Dadah tidak terhenti sebagai program kesedaran semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin kepada kerjasama berterusan semua pihak dalam membina komuniti yang sihat, selamat dan sejahtera.

Pada majlis berkenaan, Awangku Mohamed Nizam turut menyampaikan bakul makanan kepada 100 penerima membabitkan penduduk dari Kampung Sinong, Kampung Masjid, Kampung Sebiew, RPR Sebiew, Kampung Kemunting dan Kampung Baru Laut.

Sumbangan berkenaan disalurkan menerusi Pusat Khidmat N.67 Jepak sebagai usaha membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan, khususnya dalam memenuhi keperluan harian.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Pusat Khidmat N.67 Jepak atas keprihatinan dan sumbangan berkenaan, sambil berharap inisiatif seumpama itu dapat menyemarakkan semangat kebersamaan serta budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat.

Ali Hikmatullah merakam gambar bersama peserta Program Komuniti Bebas Dadah.

BERITA LAIN

RM10,000 bantu aktiviti Kelab Polis Sarikei

SARIKEI: Sebanyak RM10,000 disumbangkan bagi membantu kelancaran aktiviti tahunan Kelab Polis Sarikei sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan warga pasukan keselamatan di daerah ini.

Pendidikan seksual perlu diperluas kepada remaja

MUKAH: Sebanyak 1,770 kes kehamilan remaja direkodkan di Sarawak pada 2025, mendorong usaha memperkukuh pendidikan seksual dan advokasi menerusi Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi

BERITA TERBARU