SARIKEI: Sebanyak RM10,000 disumbangkan bagi membantu kelancaran aktiviti tahunan Kelab Polis Sarikei sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan warga pasukan keselamatan di daerah ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, sumbangan itu diharap dapat menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kelab selain mengeratkan hubungan dalam kalangan warga polis.
Katanya, jasa dan pengorbanan anggota polis dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam tidak boleh dipandang ringan kerana mereka sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan masyarakat.
“Keamanan yang dinikmati hari ini memberi ruang kepada kita menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa, termasuk menjalankan aktiviti perniagaan dan menghantar anak ke sekolah tanpa kebimbangan.
“Itu semua hasil komitmen anggota polis yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan kepentingan peribadi ketika menjalankan tugas,” katanya pada Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih anjuran Kelab Polis Sarikei, semalam.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa menghargai peranan pasukan polis dan akan terus memberikan sokongan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan demi keselamatan rakyat, termasuk di Sarikei.
Majlis turut meraikan anggota polis yang bersara dan berpindah ke formasi lain sebagai penghargaan terhadap khidmat serta dedikasi mereka.
“Sehubungan itu, saya juga ingin mengucapkan selamat bersara serta mendoakan mereka dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menikmati kehidupan bersama keluarga selepas menamatkan perkhidmatan,” katanya.




