ARTIKEL

Inap Desa Santubong semarak mobiliti antarabangsa UNIMAS–STKIP Sintang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penglibatan komuniti Inap Desa Kampung Santubong sebagai rakan strategik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memperkukuh pelaksanaan program mobiliti antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada mahasiswa luar negara mengenali budaya dan kehidupan masyarakat tempatan.

Inisiatif itu dizahirkan menerusi program mobiliti antarabangsa anjuran Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK), UNIMAS dengan kerjasama Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Persada Khatulistiwa, Sintang, Indonesia yang memasuki edisi ketiga penganjurannya.

Program berkenaan melibatkan 12 mahasiswa STKIP daripada pelbagai bidang pendidikan bersama seorang pensyarah pengiring, Evi Fitrianingrum, M.Pd., yang mengikuti aktiviti mobiliti di Inap Desa Kampung Santubong sejak 4 November lalu.

Sepanjang program, mahasiswa berkenaan berpeluang merasai sendiri kehidupan masyarakat tempatan menerusi pelbagai aktiviti berasaskan komuniti, termasuk penghasilan kraftangan, penyediaan kuih bahulu dan mi kolok.

Mereka turut menyertai lawatan pendidikan berkaitan sains, sejarah dan warisan Sarawak bagi memperluas pengetahuan serta memahami keunikan budaya masyarakat di wilayah ini.

Pendekatan pembelajaran di luar bilik kuliah itu bukan sahaja memberikan pengalaman secara langsung kepada mahasiswa, malah membantu memupuk pemahaman terhadap kepelbagaian budaya dan nilai kehidupan masyarakat serumpun di Borneo.

Penglibatan komuniti Inap Desa Santubong untuk kali ketiga dalam program berkenaan turut membuktikan potensi sektor inap desa sebagai rakan strategik institusi pengajian tinggi dalam menjayakan agenda pengantarabangsaan pendidikan.

Sebagai penutup penglibatan bersama komuniti, Persatuan Inap Desa Santubong mengadakan majlis makan malam dan perpisahan pada Sabtu (14 November) bagi meraikan delegasi STKIP berkenaan.

Hadir sama Dekan FPBK UNIMAS Dr Dilah Tuah, Pengerusi Persatuan Inap Desa Santubong Jumuri Hussaini dan penyelaras program Abang Asmirul Abang Nawas.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan lagu Puteri Santubong dan Sungai Kapuas oleh mahasiswa STKIP serta persembahan gendang Melayu asli yang melambangkan keakraban hubungan kebudayaan antara Sarawak dengan Kalimantan Barat.

Delegasi STKIP dijadual meneruskan aktiviti mobiliti selama dua hari di UNIMAS pada 16 dan 17 November ini sebelum berangkat pulang ke Sintang pada Rabu (18 November).

Penganjuran program secara berterusan itu mencerminkan komitmen UNIMAS dan STKIP Persada Khatulistiwa dalam memperluas jaringan pendidikan rentas sempadan, selain mengiktiraf peranan komuniti tempatan sebagai sebahagian daripada ekosistem pembelajaran antarabangsa.

BERITA LAIN

Bumi datar dan tembok ais

MENARIK tentang manusia, semakin banyak teknologi digunakan untuk menjelaskan dunia, semakin banyak pula persoalan muncul yang mencabar penjelasan tersebut. Di tengah-tengah kemajuan sains dan penerokaan

BERITA TERBARU