ARTIKEL

Premier Sarawak merangkap Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan 2026 bertemakan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini | Foto: Ramidi Subari/ Ghazali Bujang

PBB tidak berundur daripada pembangunan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan berundur daripada agenda pembangunan Sarawak meskipun berdepan gesaan supaya beberapa projek strategik negeri, termasuk pelabuhan Tanjung Embang, Transit Aliran Automasi (ART) dan pembangunan hidrogen dihentikan.

Premier Sarawak merangkap Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak tidak boleh kembali ke tahap pembangunan lama, sebaliknya perlu terus meneroka teknologi baharu bagi membolehkan negeri ini bersaing di peringkat ASEAN dan global.

Membidas kenyataan pihak yang mahu pembangunan berkenaan dihentikan, beliau berkata pendekatan sedemikian seolah-olah mahu Sarawak terus ketinggalan.

“Jangan suruh kita kembali duduk di atas pokok. Kita mahu terus bergerak ke hadapan.

“Saya tidak akan berundur daripada perjuangan ini. PBB juga tidak akan berundur. Kita akan meletakkan Sarawak sebagai hab di ASEAN, rantau ini, malah di peringkat dunia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan 2026 bertemakan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, gesaan supaya kerajaan menghentikan pembangunan Tanjung Embang atas alasan pembaziran wang, selain kritikan terhadap ART dan inisiatif hidrogen, tidak akan mengubah hala tuju pembangunan negeri.

Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan perancangan pembangunan Tanjung Embang yang disifatkannya mempunyai kepentingan strategik bagi memenuhi keperluan pelabuhan dan meningkatkan kapasiti eksport kargo Sarawak.

Katanya, cadangan pelabuhan baharu kira-kira lapan kilometer ke laut mengambil kira keadaan Muara Tebas yang semakin cetek akibat pemendapan, sekali gus memerlukan lokasi lebih sesuai untuk menampung kapal bersaiz besar.

Justeru, katanya, pembangunan ekonomi baharu perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan untuk seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Sarawak perlu mempunyai kestabilan. Kita mesti mewujudkan pekerjaan kepada semua anak Sarawak, tidak kira Melayu, Cina, Bidayuh, Orang Ulu atau Iban dan yang lain.

“Kita beri peluang dalam ekonomi baharu kerana kejayaan bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan seseorang,” ujarnya.

Abang Johari berkata, hasil negeri meningkat kepada RM15 bilion, hampir dua kali ganda berbanding sembilan tahun lalu, hasil perubahan yang dilaksanakan secara bersama oleh rakyat Sarawak.

“Bukan kerana saya, tetapi kerana rakyat. Rakyat yang mengubah Sarawak,” ujarnya.

BERITA LAIN

GPS umum senarai penuh 82 calon pada 25 November

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka mengumumkan senarai penuh calon pada 25 November ini bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan

BERITA TERBARU