KUCHING: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 diingatkan supaya terus memberikan sokongan kepada parti dan calon yang diberi amanah untuk bertanding.
Premier yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kekuatan sesebuah parti bukan bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya terletak pada semangat kebersamaan dan kesetiaan seluruh ahlinya.
Tegasnya lagi, setiap ahli perlu memahami bahawa mereka hanya mewakili parti dan perjuangan PBB perlu diteruskan tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang disandang.
“PBB berjaya bukan (kerana) seorang. Kita hanya wakil parti kita. Walaupun tak jadi calon, tapi semangat kita, sepertimana orang sokong kita (begitu jugalah) kita sokong orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan bahawa semangat perjuangan parti tidak seharusnya luntur hanya kerana seseorang ahli tidak dipilih sebagai calon, sebaliknya mereka perlu terus membantu calon yang diberi kepercayaan untuk bertanding.

Tambahnya, perkara paling penting ialah memastikan parti terus kuat kerana kestabilan politik menjadi asas kepada keupayaan Sarawak membangunkan ekonomi dan berdikari tanpa terlalu bergantung kepada pihak lain.
Jelas beliau lagi, ahli PBB perlu meletakkan kepentingan parti dan negeri melebihi kepentingan peribadi, sekali gus memastikan perjuangan mempertahankan Sarawak terus menjadi keutamaan.
Beliau turut mengingatkan ahli supaya sentiasa menjaga kekuatan parti dan tidak membiarkan perbezaan pandangan atau kepentingan individu menjejaskan perpaduan yang telah dibina.
Menurutnya, PBB perlu terus diperkukuh sebagai parti utama di Sarawak dengan memastikan barisan kepimpinan dan keahliannya sentiasa bersatu dalam menghadapi cabaran politik.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli supaya tidak gentar menghadapi pilihan raya akan datang dan terus bekerja bagi memastikan kemenangan besar GPS.
“Jangan takut. Waktu pilihan raya ini, kita sapu bersih kalau dapat 82 (kerusi DUN),” tegasnya.


