KUCHING: Peningkatan Belanjawan Sarawak kepada kira-kira RM14.85 bilion bagi 2027 membuktikan keberkesanan kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mengukuhkan ekonomi negeri serta memastikan hasil pembangunan dikembalikan kepada rakyat.
Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu mencerminkan kebijaksanaan Abang Johari dalam menjana pendapatan baharu serta mengurus kewangan negeri demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, kepimpinan Premier bukan sahaja mendapat pujian di Sarawak, malah turut dikagumi di Semenanjung Malaysia dan peringkat antarabangsa khususnya dari segi wawasan, pengetahuan serta keupayaannya menjana pendapatan negeri sekali gus turut menjadi kebanggaan.
“Sejak Abang Johari menerajui Sarawak, pendapatan negeri terus meningkat sehingga membolehkan kerajaan memperuntukkan RM14.85 bilion menerusi Belanjawan Sarawak 2027, berbanding RM12.9 bilion pada 2026.
“Namun, pencapaian itu bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya membuktikan kemajuan dan keupayaan Sarawak menjana pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding negeri lain,” katanya.
Fadillah yang juga Pengerusi Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Selatan berkata demikian ketika berucap pada konvensyen khas bertemakan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Fadillah menambah, Kerajaan Sarawak juga memperuntukkan RM650 juta bagi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menerusi Belanjawan 2027.
Menurutnya, kebijaksanaan Premier menjana pendapatan baharu memastikan hasil negeri dapat dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan merangkumi bayi baru lahir, wanita yang melahirkan anak, warga emas serta anak-anak yang menikmati kemudahan pendidikan percuma.
“Segala yang diumumkan kerajaan bukan sekadar janji atau perkara yang kita dengar, sebaliknya manfaatnya sudah dapat dirasai oleh rakyat hasil usaha kepimpinan GPS di bawah Premier,” ujarnya.
Mengenai pembangunan infrastruktur negeri khususnya pembinaan jambatan, Fadillah memaklumkan Abang Johari membuktikan kesungguhannya melaksanakan projek yang sebelum ini dibatalkan.
Mengimbas kembali tempoh 22 bulan beliau sebagai Menteri Kerja Raya, Fadillah memaklumkan bahawa tiga projek jambatan yang sepatutnya dibina telah dibatalkan, namun Abang Johari kemudiannya mengusahakan tambahan 22 jambatan.
“Itulah semangat rakyat Sarawak. Abang Johari bukan sekadar meluahkan rasa kecewa, tetapi membuktikannya menerusi tindakan,” jelasnya.
Menyentuh prospek pembangunan Zon Selatan, Fadillah menyatakan bahawa Tanjung Embang yang sebelum ini merupakan sebuah perkampungan yang kurang dikenali berpotensi muncul sebagai pusat pertumbuhan utama menerusi cadangan pembangunan pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa dan terminal pintu masuk.
“Keseluruhan pembangunan itu dijangka melibatkan pelaburan kira-kira RM100 bilion bagi kawasan ini sahaja. Ini bermakna terdapat peluang yang amat besar menanti Zon Selatan,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan kepimpinan Abang Johari, dasar kerajaan yang jelas, kestabilan politik serta penekanan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran sebagai faktor yang meningkatkan daya tarikan Sarawak kepada pelabur antarabangsa.
“Kita mempunyai tenaga kerja dan modal insan yang diperlukan. Sejak awal lagi, Premier sudah mengambil langkah ke arah pembangunan tenaga boleh baharu. Ketika negeri lain termasuk di Semenanjung Malaysia baru mula mengikuti hala tuju ini, Sarawak sudah pun bergerak ke hadapan. RujukanGeografi
“Apabila saya menjadi menteri, saya dapat melihat sendiri apa yang telah dilaksanakan oleh Premier. Banyak inisiatif yang dilaksanakan di Sarawak kini menjadi contoh untuk diikuti negeri lain,” katanya.




