KUCHING: Empat motosikal disita dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi bermula 11.30 malam hingga 5 pagi tadi turut mengeluarkan 40 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurutnya, seramai 60 individu dan 55 motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Operasi ini bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan bagi memastikan pematuhan undang-undang lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan.




