KUCHING: Penyediaan mesin defibrilator luaran automatik (AED) bakal diwajibkan di semua premis tumpuan awam di Sarawak dalam tempoh dua hingga tiga tahun menerusi penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Bangunan Sarawak yang berkuat kuasa sejak 15 Mei lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, tempoh berkenaan diberikan bagi membolehkan pihak pengurusan bangunan membuat perancangan serta menyediakan peruntukan kewangan untuk memenuhi keperluan tersebut.
Jelasnya, penyediaan AED penting bagi memastikan bantuan awal dapat diberikan kepada mangsa serangan jantung, khususnya di lokasi tumpuan ramai seperti pusat beli-belah dan bangunan kerajaan.

“Kita melihat kepada tempoh kira-kira dua hingga tiga tahun kerana jika ia dikuatkuasakan serta-merta tahun ini, pihak terbabit akan memberi alasan mereka belum memperuntukkan bajet.
“Peruntukan boleh disediakan pada tahun hadapan. Namun, sekiranya selepas tempoh dua atau tiga tahun perkara ini masih gagal dilaksanakan, ia jelas menunjukkan mereka sememangnya tiada niat untuk melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program CPR & AED Charity Run di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Sim menegaskan kepentingan bantuan kecemasan dalam tempoh lima minit pertama bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup mangsa serangan jantung.
Tambahnya, kelewatan memberikan bantuan awal boleh menyebabkan sel otak mula mengalami kerosakan akibat kekurangan oksigen, sekali gus meningkatkan risiko kecacatan otak kekal walaupun mangsa berjaya diselamatkan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, penyediaan mesin AED perlu disertai latihan penggunaan yang betul, termasuk kemahiran melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Jelasnya, setiap premis awam perlu mempunyai kakitangan terlatih dan bertauliah untuk mengendalikan peranti berkenaan, selain memastikan penyelenggaraan mesin serta pembaharuan pensijilan dilakukan secara berkala.
Beliau turut menggesa agar pengetahuan CPR diperluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat, termasuk ahli keluarga dan kanak-kanak, supaya bantuan segera dapat diberikan sekiranya berlaku kecemasan di rumah atau tempat awam.
End



