KUCHING: Seorang tokan dadah ditahan kerana memiliki 38 katrij berisi cecair ganja yang dianggarkan bernilai RM17,000.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditangkap di kawasan parkir berhadapan sebuah kedai di Jalan Tun Jugah kira-kira jam 3.05 petang, 13 November lalu.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin dan Benzo,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.
Alexson menambah, suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama lima hari bermula 15 hingga 19 November ini untuk siasatan lanjut.




