ARTIKEL

Prabhu Kripa menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Deepavali 2026 di Kuching. Foto Ramidi Subari

Kepelbagaian agama, budaya dan tradisi kekuatan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kepelbagaian agama, budaya dan tradisi yang menjadi identiti Sarawak perlu dipelihara bagi memastikan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum kekal utuh.

Pengerusi ISKCON Kuching, Prabhu Kripa berkata, perbezaan latar belakang masyarakat bukan penghalang, sebaliknya keistimewaan yang perlu diraikan sebagai kekuatan penyatuan rakyat Sarawak.

Meskipun masyarakat mengamalkan kepercayaan, meraikan perayaan dan mengikuti tradisi berbeza, nilai asas seperti kasih sayang, saling menghormati, kebaikan, belas kasihan dan keamanan tetap menjadi pegangan bersama.

“Apabila kita menghormati kepercayaan antara satu sama lain, meraikan perayaan masing-masing dan berdiri bersama ketika berdepan kesukaran, kita sebenarnya memperlihatkan makna sebenar perpaduan.

“Justeru, keharmonian unik ini perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Deepavali 2026 di sini, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan turut dihadiri Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Datuk Georgina Apphia Ngau.

Mengulas mengenai sambutan Deepavali, Prabhu Kripa berkata, perayaan itu membawa makna lebih mendalam daripada sekadar penyalaan pelita dan pertemuan bersama keluarga serta sahabat handai.

Deepavali melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, ilmu mengatasi kejahilan, kebaikan mengatasi kejahatan serta kebenaran mengatasi ketidakadilan.

Menurutnya, berdasarkan kisah Ramayana, Deepavali memperingati kepulangan Lord Ramachandra bersama Mother Sita dan Lakshmana ke Ayodhya selepas menjalani pengasingan selama 14 tahun serta kejayaan menewaskan Ravana.

Perayaan itu juga dikaitkan dengan kemenangan Lord Krishna menewaskan Narakasura.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya UNIFOR, atas sokongan berterusan dalam menyediakan ruang kepada komuniti agama untuk meraikan perayaan masing-masing.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan kebebasan beragama, kepelbagaian budaya dan kehidupan harmoni dalam kalangan masyarakat.

Beliau berharap semangat kerjasama serta sikap saling menghormati dinikmati rakyat Sarawak ketika ini terus diperkukuh demi kesejahteraan negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU