ARTIKEL

Lawas bukan lagi pekan hujung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MALAM ini, Lawas mencatatkan satu lagi detik penting dalam sejarah pembangunannya apabila Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Jambatan Bandar Lawas, sepanjang 642 meter.

Lebih daripada sekadar upacara perasmian, detik ini membawa makna yang lebih besar kepada penduduk di daerah paling utara Sarawak itu.

Pada 6 November lalu, jambatan indah dan megah yang menghubungkan Jalan Pulau Salam dan Kampung Ladang Baru itu dibuka kepada orang awam, sekali gus mengubah corak perhubungan di antara kawasan utara dan selatan Lawas.

Perjalanan yang sebelum ini mengambil masa kira-kira 50 minit kini dijangka dapat dipendekkan kepada hanya 25 minit.

Bagi sesetengah orang, pengurangan masa perjalanan mungkin tidak membawa makna yang besar.

Namun, bagi penduduk Lawas, ia bermakna urusan harian lebih mudah, pergerakan ekonomi lebih lancar dan hubungan antara komuniti semakin dekat.

Namun yang paling menarik, projek yang dilaksanakan RECODA ini akan menjadi mercu tanda baharu, dan lokasi foto dan pelancongan yang wajib disinggah.

Realitinya, daerah yang selama ini dikenali sebagai pekan sempadan, dengan kedudukan geografinya yang terpisah daripada sebahagian besar wilayah Sarawak oleh Brunei, kini sedang membina asas untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu di utara wilayah ini.

Perubahan tersebut tidak berlaku dalam sehari.

Ia merupakan sebahagian daripada perjalanan pembangunan yang panjang, melibatkan pembinaan jaringan jalan raya, kemudahan kesihatan, lapangan terbang, pusat pentadbiran dan prasarana ekonomi.

Sudah tentu individu di sebalik transformasi ini ialah Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak dan ADUN Bukit Sari.

Sebagai tokoh utama yang memperjuangkan pembangunan kawasan tersebut, beliau turut memainkan peranan melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dalam menyelaras agenda pembangunan yang lebih menyeluruh di kawasan tersebut.

Persoalannya kini bukan lagi sekadar bagaimana Lawas boleh dihubungkan dengan kawasan lain, tetapi bagaimana segala kemudahan yang sedang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi, pekerjaan dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Kedudukannya yang terpisah daripada sebahagian besar wilayah Sarawak oleh Brunei menyebabkan pergerakan darat, urusan perdagangan dan hubungan dengan kawasan lain mempunyai cabaran tersendiri.

Justeru, pembangunan infrastruktur pengangkutan menjadi antara keutamaan paling penting.

Selain Jambatan Bandar Lawas, turut dibangunkan, Lebuh Raya Pesisir Utara bernilai RM6.1 bilion yang menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas, seterusnya ke Sabah dan Brunei yang bakal memperkukuh kesalinghubungan wilayah berkenaan.

Projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR), yang menghubungkan kawasan utara Sarawak dengan Sabah tanpa perlu melalui Brunei turut rancak berlangsung.

SSLR Fasa 1, dari Kampung Gelugus ke Persimpangan Long Lopeng, melibatkan jajaran kira-kira 75.6 kilometer dengan kos kontrak sekitar RM1.02 bilion.

Fasa 2 pula merangkumi kira-kira 335 kilometer, melibatkan beberapa laluan pedalaman termasuk Long Seridan, Nanga Medamit, Long Komap dan Ba’kelalan. Setakat Oktober 2026, kemajuan fizikal Fasa 1 dilaporkan mencapai 78.07 peratus, manakala Fasa 2 sebanyak 23.38 peratus.

Kedua-dua fasa melibatkan kos keseluruhan RM8.17 bilion, dengan sasaran siap masing-masing pada 2027 dan 2030.

Apabila jaringan ini disempurnakan, Lawas bukan lagi sekadar pekan dan daerah yang terletak di hujung peta Sarawak.

Sebaliknya, ia berpotensi menjadi salah satu pintu masuk utama kepada hubungan ekonomi dan sosial antara Sarawak, Sabah dan Brunei.

Satu lagi perubahan besar di kawasan ini ialah Lapangan Terbang Baharu Lawas.

Ia penting kerana lapangan terbang sedia ada mempunyai kekangan operasi, termasuk risiko terjejas akibat banjir, lepas landas yang pendek serta kedudukan berhampiran Sungai Lawas yang berliku.

Lapangan terbang baharu yang dijadualkan siap pada April 2028 dijangka meningkatkan akses penerbangan bagi penduduk Lawas, Ba’kelalan dan kawasan sekitarnya.

Dengan kapasiti Kelas 3C dan keupayaan mengendalikan lebih 100,000 penumpang setahun, kemudahan ini berpotensi menyokong pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

Dalam ekonomi moden, kemudahan penerbangan ialah sebahagian daripada ekosistem pelaburan.

Ia memudahkan pergerakan tenaga kerja, pelabur, pelancong dan urusan perniagaan.

Sektor kesihatan turut menerima perubahan besar apabila Hospital Lawas baharu bernilai RM183 juta mula beroperasi.

Hospital berkapasiti 76 katil itu mula beroperasi pada 7 September 2026 dan diserahkan secara rasmi kepada kerajaan pada 14 September tahun yang sama.

Kemudahan tersebut dilengkapi dua bilik pembedahan, empat katil Unit Kebergantungan Tinggi (HDU), Jabatan Kecemasan dan Trauma, unit pediatrik, pergigian, makmal, farmasi serta sembilan mesin hemodialisis.

Pada 2025, Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Lawas menerima 14,083 pesakit.

Daripada jumlah itu, 693 pesakit dirujuk ke hospital lain, termasuk 440 ke Limbang, 151 ke Miri dan 102 ke Kota Kinabalu.

Angka ini menggambarkan keperluan sebenar masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan yang lebih lengkap dan Hospital Lawas dijangka memenuhi keperluan tersebut.

Pembangunan yang sebenar ialah apabila penduduk tidak lagi perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya boleh disediakan berhampiran tempat tinggal mereka Lawas juga sedang melakar wajah baharu dari sudut pentadbiran.

Kompleks Pejabat Pentadbiran (AOC) Lawas setinggi 15 tingkat yang dirasmikan hari ini menempatkan 16 jabatan dan agensi kerajaan, merupakan satu lagi simbol perubahan.

Penyatuan jabatan di bawah satu bumbung bukan sekadar memberikan imej bandar yang lebih moden.

Ia mempunyai tujuan yang lebih praktikal, iaitu memudahkan urusan rakyat, memperkukuh koordinasi antara agensi dan mengurangkan kerenah birokrasi.

Bayangkan penduduk dari kawasan pedalaman yang sebelum ini terpaksa bergerak ke beberapa lokasi untuk menyelesaikan urusan kerajaan.

Dengan penyatuan perkhidmatan, sebahagian urusan itu dapat dilakukan dengan lebih mudah. Inilah pembangunan yang mungkin tidak semegah jambatan atau lapangan terbang, tetapi kesannya dirasai secara langsung oleh rakyat.

Pada September 2024, Awang Tengah memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.5 bilion kepada NRDA bagi pembangunan infrastruktur wilayah utara, termasuk jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air.

Sebanyak RM160 juta pula diperuntukkan untuk sektor pendidikan.

Peruntukan itu memperlihatkan bahawa pembangunan Lawas tidak boleh dipisahkan daripada agenda pembangunan wilayah utara secara keseluruhan.

Yang pasti, ukuran kejayaan pembangunan Lawas tidak boleh hanya dilihat melalui perubahan di pusat bandar.

Sundar, Trusan, Merapok, Ba’kelalan dan kawasan pedalaman lain juga menikmati manfaat pembangunan yang sama.

Kepimpinan dan pengalaman Awang Tengah telah menyuntik idea-idea bernas dan strategik, untuk memastikan projek infrastruktur di sini saling melengkapi dalam membentuk sebuah ekosistem ekonomi yang berdaya maju.

Lawas kini sedang berada di persimpangan penting dalam sejarah pembangunannya.

Dengan jambatan baharu, hospital yang sudah beroperasi, kompleks pentadbiran, lapangan terbang yang sedang dibina serta jaringan jalan raya yang semakin berkembang, daerah ini mempunyai asas lebih kukuh untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Dahulu, Lawas sering dilihat sebagai penghujung perjalanan di utara Sarawak.

Kini, ia mempunyai peluang untuk menjadi permulaan kepada satu koridor pertumbuhan baharu.

Akhirnya, kejayaan Lawas bukan apabila bangunannya menjadi semakin tinggi atau jalannya semakin panjang.

Kejayaannya ialah apabila kehidupan rakyat menjadi lebih mudah, ekonomi tempatan semakin kukuh dan anak-anak Lawas mempunyai masa depan yang lebih luas di tanah kelahiran sendiri.

Lawas dengan populasi lebih 38,000 orang tidak lagi menjadi daerah di hujung Sarawak.

Ia mesti dibangunkan sebagai pintu gerbang yang membuka lebih banyak peluang kepada seluruh wilayah utara negeri ini.

Terima kasih Awang Tengah dan pasukannya yang merealisasikan impian lama rakyat di hujung Sarawak ini.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Apabila duit lesap, setiap saat berharga

KADANG-KADANG apabila membaca kisah seseorang menjadi mangsa penipuan, kita tertanya-tanya bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku. Kita mungkin menganggap diri kita cukup berhati-hati, tidak mudah mempercayai

Kerusi DUN di Parlimen Bandar Kuching panas

Di atas kertas, tiga kerusi “bandar” di Parlimen Bandar Kuching bakal menyaksikan pertembungan tumpuan. Sudah tentu ia melibatkan dua musuh tradisi — DAP dan SUPP.

BERITA TERBARU

Huang hulur bantuan mangsa kebakaran Rumah Sibar

SARIKEI: Empat keluarga yang terjejas selepas empat pintu di Rumah Sibar Duat, Lubok Lemba, Ulu Sarikei musnah dalam kebakaran, menerima bantuan daripada Timbalan Menteri Perladangan