ARTIKEL

Gambar: Bernama

JPN Perak Sahkan Pelajar Tingkatan 3 Maut, Arah Sekolah Beri Kerjasama Kepada Polis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan berlakunya insiden seorang murid Tingkatan 3 ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di negeri ini, semalam.

Dalam kenyataan malam ini, JPN Perak memaklumkan sedang memantau perkembangan insiden tersebut secara dekat dan telah mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Menurut kenyataan itu, jabatan tersebut juga telah menyelaras supaya perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial diberikan kepada murid, guru serta warga sekolah yang terkesan bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka diberikan perhatian sewajarnya.

“JPN Perak juga memastikan komunikasi dengan keluarga murid dilaksanakan secara berhemah, penuh empati dan berterusan, di samping memberikan bantuan serta sokongan yang bersesuaian.

“Pihak jabatan memohon semua pihak agar menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya melalui media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga serta kelancaran proses siasatan,” menurut kenyataan itu.
 
JPN Perak turut menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian murid terbabit.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata perkhabaran mengenai insiden itu diterima pada 5 petang tadi ketika beliau sedang bermesyuarat di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar.

“Saya tinggalkan mesyuarat dan bergegas terus ke tempat kejadian dan melihat sendiri kejadian tersebut.

“Saya telah minta pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar serta Jabatan Pendidikan Negeri Perak menyediakan laporan penuh tentang kejadian,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi.

Bagi menghormati keluarga mangsa dan proses undang-undang, Khairudin berkata beliau tidak akan memberikan sebarang ulasan tentang kejadian yang telah berlaku. 

“Buat keluarga yang ditimpa musibah ini, mewakili Kerajaan Negeri Perak saya zahirkan ucapan takziah,” katanya.- BERNAMA

BERITA LAIN

Bekas Presiden FAS Sudarsono Osman meninggal dunia

KUCHING: Dunia sukan bola sepak Sarawak kehilangan pemimpin berkarisma tinggi dengan pemergian bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman. Allahyarham menghembuskan nafas

BERITA TERBARU

Trump sedia berunding dengan Kim Jong-un

MANILA/SEOUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serius untuk mengadakan dialog dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada Rabu,