ARTIKEL

MARAPATI angkat legenda Santubong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Legenda Santubong bakal kembali menggegarkan pentas seni Sarawak menerusi pementasan teater muzikal epik MARAPATI yang tampil dengan pendekatan kreatif menggabungkan lakonan pentas, elemen sinematik dan muzik dalam satu persembahan.

Dianjurkan oleh Persatuan Anak Seni Sarawak (Anak Seni), pementasan yang mengetengahkan kisah berteraskan mitos Melayu dan sejarah imaginatif itu dijadualkan berlangsung pada 4 Disember ini, jam 8.00 malam, di Balai Budaya,

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak.

Menariknya, persembahan itu terbuka secara percuma kepada orang ramai, sekali gus memberikan peluang kepada masyarakat untuk menghayati karya seni tempatan yang mengangkat legenda dan warisan budaya Nusantara.

MARAPATI membawa penonton menyelami perjalanan seorang insan yang ditakdirkan untuk memikul tanggungjawab besar terhadap tamadun Santubong.

Kisah epik itu merangkumi pelbagai konflik kehidupan, termasuk persahabatan, percintaan, pengkhianatan, dendam, pengorbanan dan peperangan yang menjadi penentu masa depan sebuah kerajaan.

Lebih daripada sekadar kisah legenda, karya berkenaan turut mengangkat persoalan tentang kuasa, tanggungjawab, kesetiaan dan kepentingan mempertahankan warisan untuk generasi akan datang.

Keistimewaan utama produksi itu terletak pada penggunaan konsep teater sinematik hibrid yang menggabungkan dua bentuk lakonan, iaitu persembahan secara langsung di atas pentas dan lakonan sinematik yang dirakam terlebih dahulu sebelum dipaparkan pada skrin.

Pendekatan itu membolehkan pelakon berinteraksi dengan watak serta adegan yang dipaparkan pada skrin, sekali gus menghasilkan pengalaman penceritaan yang lebih dinamik dan berbeza daripada pementasan teater konvensional.

Idea berkenaan diterajui pengarah merangkap penulis skrip, Jalot Jeman, yang berpengalaman dalam bidang lakonan pentas dan layar sejak 1998.

Beliau pernah menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pengarah Terbaik, termasuk meraih kejayaan dalam kategori berkenaan selama dua tahun berturut-turut.

Selepas sekian lama menyepi daripada pentas persembahan, MARAPATI menjadi wadah kemunculan semulanya dengan membawa pendekatan baharu dalam meneroka potensi seni persembahan.

Selain lakonan, produksi itu turut menampilkan koreografi, gerak silat kontemporari, gabungan muzik tradisional dan moden serta visual sinematik melalui paparan skrin LED.

Lebih menarik, sebanyak sembilan lagu ciptaan asli dihasilkan khusus untuk menghidupkan penceritaan dan membangkitkan emosi penonton sepanjang pementasan.

Dalam pada itu, MARAPATI turut membawa misi mencungkil bakat baharu dalam bidang lakonan di Sarawak apabila majoriti pelakon yang terlibat terdiri daripada wajah baharu yang digandingkan dengan penggiat teater berpengalaman.

Peluang itu diharap menjadi platform kepada bakat tempatan untuk mengasah kemampuan, membina keyakinan dan meneroka peluang yang lebih luas dalam produksi teater serta televisyen, termasuk menerusi TVS.

Produksi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, DBP dan Majlis Seni Sarawak serta mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Selain persembahan utama, pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik daripada penaja, termasuk Damai Beach Resort, Damai Lagoon Resort, Retreat2 Serapi, The Waterfront Hotel, MYDIN dan Borneo Empurau Farm & Resort.

Orang ramai, khususnya peminat seni persembahan, golongan muda, pelajar dan penggiat budaya, dijemput hadir untuk menyaksikan keunikan MARAPATI yang menggabungkan legenda tempatan dengan teknologi serta pendekatan penceritaan moden.

BERITA LAIN

Akim, Stacy sedia cipta memori baharu

Penyanyi popular Akim Ahmad meluahkan rasa teruja dan bersyukur apabila diberikan peluang menyertai Gegar Vaganza Fantasia (GVF) 2026, sekali gus mencipta kenangan baharu bersama-sama barisan

BERITA TERBARU

Penerbangan terus KL-Bandung disasar dibuka semula

BANDUNG: Jawa Barat berhasrat menyambung semula penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Bandung susulan perancangan membuka semula Lapangan Terbang Husein Sastranegara bagi penerbangan antarabangsa, sekali

Hidrogen pacu revolusi pengangkutan hijau Malaysia

KUALA LUMPUR: Teknologi hidrogen berpotensi menjadi alternatif kepada penggunaan diesel bagi kenderaan komersial berat, bas ekspres dan pengangkutan logistik jarak jauh seterusnya menyokong usaha kerajaan