ARTIKEL

Gambar Hiasan

Buli bukan gurauan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BARU-BARU ini, tular rakaman tiga pelajar lelaki 15 tahun berhubung dakwaan buli membabitkan mangsa berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah. Dalam rakaman tersebut, mangsa ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali di beberapa bahagian badan.

Menurut laporan media, siasatan awal polis mendedahkan ia disebabkan perselisihan faham berkaitan perbuatan dalam kumpulan WhatsApp yang menimbulkan rasa tidak puas hati. Kejadian tersebut membuka kembali persoalan berkaitan kejadian buli di sekolah. Rekod terkini menunjukkan 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Rakyat pada Oktober lalu berkata, angka sebenar mungkin lebih besar memandangkan setengah pihak pentadbiran sekolah memiliki untuk tidak melaporkan kes buli dan salah laku disiplin semata-mata demi menjaga imej institusi masing-masing.

Buli dalam kalangan pelajar sekolah berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya buli fizikal dengan mendederakan tubuh mangsa secara langsung, buli verbal atau menggunakan kata-kata yang menyakitkan hati dan menjatuhkan maruah seseorang.

Ketika di sekolah rendah, buli jenis ini sering berlaku apabila pelajar ‘main nama bapa’ pelajar yang lain. Seterusnya, buli turut melibatkan emosi, siber dan seksual. Masing-masing mempunyai bentuk dan kesan tersendiri, tetapi semuanya boleh meninggalkan luka kepada mangsa.

Dalam konteks ini, ada pelajar membuli kerana mereka ingin berasa berkuasa. Dalam dunia mereka, rasa dihormati dan dikagumi mungkin sukar diperoleh melalui cara biasa.

Perbuatan membuli memberi mereka perasaan ‘menang’ dan rasa penting, walaupun ia dicapai dengan menyakiti orang lain. Ada juga pelajar membuli kerana tidak pandai mengawal emosi, terutamanya kemarahan dan kecewaan.

Pembuli mungkin datang daripada latar belakang keluarga yang bermasalah, kurang perhatian di rumah atau sentiasa berdepan dengan tekanan. Namun, memahami faktor yang mendorong seseorang membuli tidak bermakna perbuatan itu dibenarkan.

Tidak sedar wujud buli

Isu buli dalam kalangan pelajar sering berlaku secara senyap dan tersembunyi. Ramai tidak menyedari wujudnya buli kerana mangsa jarang bersuara. Mereka takut dibalas, malu atau rasa tiada siapa-siapa yang akan membantu.

Ada pembuli yang pandai berlakon baik di hadapan orang dewasa, tetapi bertindak kasar di tempat tersembunyi. Justeru, rakan dan guru memainkan peranan penting untuk mengesan tanda-tanda awal buli di sekolah. Antaranya, kemurungan, takut ke sekolah atau prestasi akademik merosot.

Kalau pelajar takut isu buli terpalit kepada dirinya, mungkin boleh buat sistem untuk merahsiaan jumlah aduan. Lagi awal aduan dikesan, lebih cepat kita dapat membantu.

Namun, satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah sikap masyarakat yang kadangkala terlalu mudah menganggap perbuatan menyakitkan orang lain sebagai gurauan biasa. Bergurau dan bergelek ketawa sememangnya fitrah dalam kehidupan, tetapi perlulah dijaga batasannya. Tidak semua perkara boleh dijadikan bahan lawak.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa etika ketika bergurau. Antaranya tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan, tidak menjadikan maruah seseorang sebagai guru senda, tidak menipu serta tidak menjadikan siyal agama sebagai bahan lawak.

Masalah mula timbul apabila setengah pihak beranggapan gurauan yang melanggar etika tersebut sebagai perkara biasa. Ketawa orang ramai tidak semestinya bermakna orang yang dijadikan bahan turut berasa terhibur. Ada yang memilih untuk tersenyum, tetapi menyimpan rasa malu, marah dan kecewa dalam hati.

Budaya buli masa kini tidak lagi terbatas kepada institusi persekolahan, malah merebak ke pusat pengajian tinggi melalui tekanan pelajar senior, kemudian tempat kerja melalui penyalahgunaan kuasa. Malah kini popular dengan buli siber di ruang digital.

Apabila buli berlaku di tempat kerja, ia mungkin hadir dalam bentuk tekanan, tikam belakang, penyalahgunaan kuasa atau tindakan menjatuhkan seseorang secara berterusan. Di ruang digital pula, kata-kata dan penghinaan boleh tersebar dengan pantas, menjadikan mangsa lebih sukar melarikan diri daripada tekanan yang dihadapinya.

Tindakan proaktif

Buli bukan sekadar masalah disiplin individu, tetapi turut mencerminkan budaya dan sikap masyarakat untuk tidak menolak tindakan menindas tersebut. Ia juga memaksa kerajaan mengambil tindakan proaktif untuk membasmi buli di peringkat sekolah.

Pelbagai langkah telah dan sedang diambil, antaranya pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penambahan guru bimbingan dan kaunseling serta pelantikan pembantu warden asrama. Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga diberikan kebenaran untuk memasuki sekolah pada bila-bila masa secara rasmi dan berpakaian seragam.

Segala langkah yang diambil kerajaan sememangnya penting dalam usaha menangani masalah buli. Namun, usaha ini tidak seharusnya bergantung kepada peraturan, pengawasan dan tindakan pihak berkuasa semata-mata. Ibu bapa, guru, rakan dan masyarakat perlu bekerjasama bagi memastikan buli tidak berlaku di persekitaran mereka.

Kita perlu berhenti menormalisasikan perbuatan menyakiti orang lain atas alasan gurauan, persahabatan atau mahu kelihatan hebat. Kita juga perlu berhenti menganggap mereka yang bersuara sebagai lemah, manakala mereka yang membuli sebagai kuat.

Hakikatnya, kesan buli boleh menyebabkan mangsa takut untuk ke sekolah sehingga terlepas pelajaran dan hilang keyakinan diri. Kerana pada akhirnya, ukuran sebuah masyarakat yang baik bukanlah berapa ramai yang mampu membuat orang lain ketawa, tetapi berapa ramai yang mampu memastikan tiada seorang pun terpaksa menangis sendirian akibat ditindas.

BERITA LAIN

PENIPU SEMAKIN LICIK semak sebelum terpedaya

BERMULA dengan mesej WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai kenalan, panggilan telefon kononnya daripada pihak berkuasa hingga ke laman sesawang palsu, sindiket penipuan semakin licik

Kembali ke era 2000-an

ADA sesuatu yang sukar dijelaskan apabila lagu-lagu yang pernah menemani zaman remaja akhirnya berpeluang didengar secara langsung, bukan lagi sekadar melalui fon telinga, cakera padat

BERITA TERBARU

Kuching City FC Menang Mudah

KUCHING: Kuching City FC meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super 2026/2027 apabila menundukkan Negeri Sembilan FC 2-0 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,

Irene Wong bakal tanding kerusi DUN Pelawan

KUCHING: DAP Sarawak mengetengahkan calon generasi Z pertamanya apabila Irene Wong, 24, bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan pada Pilihan Raya Negeri