KUCHING: Kuching City FC meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super 2026/2027 apabila menundukkan Negeri Sembilan FC 2-0 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang tadi.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu mempamerkan aksi bertenaga meskipun beraksi di gelanggang lawan, dengan menguasai permainan dan melancarkan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah.
Safawi Rasid membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum kapten pasukan, James Okwuosa menggandakan kelebihan Kuching City pada minit ke-37.
Kuching City terus mengawal permainan dengan disiplin pertahanan yang baik bagi mengekalkan kelebihan dua gol sehingga tamat perlawanan.
Negeri Sembilan berpeluang merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-80, namun percubaan Luqman Hakim berjaya diselamatkan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Kemenangan itu menyaksikan The Cats mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 15 mata selepas tujuh perlawanan.
Kuching City turut merekodkan 19 jaringan gol dan hanya dibolosi tujuh kali setakat ini.
Untuk rekod, Kuching City beraksi tanpa perancang utama, Petrus Shitembi, yang menjalani penggantungan satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika pasukan itu tewas 2-3 kepada DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, pada 18 Oktober lalu.
Pemain kelahiran Namibia itu diperintah keluar padang pada minit ke-61 selepas menerima kad kuning kedua. Beliau menjadi pemain import keempat Kuching City yang dilayangkan kad merah dalam semua kejohanan musim ini selepas James Okwuosa, Yuki Tanigawa dan Jerome Etame Mpacko.
Selepas kemenangan di Paroi, Kuching City akan kembali beraksi di laman sendiri menentang wakil Kemboja, Phnom Penh Crown FC, dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC Dua di Stadium Negeri Sarawak pada 26 November ini.



