KUCHING: MSSB Samarahan berpeluang melakar sejarah apabila bakal turun menentang MSSB Betong dalam perlawanan akhir Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya, esok.
Pasukan kendalian Toni Ak Jamit itu mara ke pentas final selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan, sekali gus meletakkan mereka selangkah untuk menjulang gelaran juara.
Pertemuan itu turut menyaksikan kedua-dua pasukan mengulangi aksi peringkat Kumpulan A yang berkesudahan seri 1-1 sebelum ini.
“Kami bersedia menghadapi perlawanan akhir esok dengan satu misi, iaitu memastikan kemenangan untuk membawa pulang kejuaraan,” kata Toni kepada Arena Suara Sarawak.
Bagaimanapun, Toni mengakui tugas anak buahnya bukan mudah kerana MSSB Betong turut mempunyai hasrat yang sama untuk muncul juara.
Beliau berharap semua pemain yang diturunkan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik sepanjang perlawanan bagi merealisasikan sasaran pasukan.


