KUCHING: Kuching City FC perlu mencari formula baharu di bahagian tengah apabila turun menentang Negeri Sembilan FC tanpa khidmat perancang utamanya, Petrus Shitembi dalam aksi ketujuh Liga Super 2026/2027 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, jam 4.45 petang ini.
Petrus digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah ketika Kuching City tewas 2-3 kepada DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, pada 18 Oktober lalu.
Pemain kelahiran Namibia itu diperintah keluar padang pada minit ke-61 selepas menerima kad kuning kedua, sekali gus menjadi pemain import keempat Kuching City dilayangkan kad merah dalam semua kejohanan musim ini selepas James Okwuosa, Yuki Tanigawa dan Jerome Etame Mpacko.

Ketiadaan Petrus dijangka memberi cabaran kepada Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak memandangkan pemain itu menjadi antara tonggak penting dalam menggerakkan serangan dan mengawal rentak permainan.
Bagaimanapun, Aidil masih mempunyai beberapa pilihan untuk mengisi kekosongan tersebut, termasuk Nazmi Faiz Mansor dan pemain import dari Jordan, Ahmad Israiwah.
Nazmi berpotensi diberi tanggungjawab mengemudi bahagian tengah berdasarkan pengalamannya mengawal penguasaan bola serta mencipta peluang, manakala Ahmad Israiwah boleh memainkan peranan lebih menyerang.
Ryan Lambert dan Kaishu Yamazaki turut menjadi pilihan bagi membentuk kombinasi bahagian tengah yang lebih seimbang.
Kuching City kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan 12 mata daripada enam perlawanan, hasil empat kemenangan dan dua kekalahan. Pasukan itu turut merekodkan 17 jaringan gol dan bolos tujuh kali.
The Cats juga mempunyai rekod pertemuan yang baik menentang Negeri Sembilan, termasuk kemenangan 2-0 pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kuching, Januari lalu.
Perlawanan petang ini menjadi peluang buat Kuching City kembali mencatat kemenangan dalam saingan liga selepas tewas kepada DPMM FC, selain meneruskan momentum positif selepas mengesahkan tempat ke final Piala FA.
Selepas kunjungan ke Paroi, Kuching City akan kembali beraksi di Stadium Negeri Sarawak untuk menentang Phnom Penh Crown FC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Dua AFC pada 26 November ini.

