ARTIKEL

UNIFOR salur RM18.437 juta kepada 87 rumah ibadat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Sebanyak 87 rumah ibadat pelbagai agama di Miri, Limbang dan Bintulu menerima bantuan dana berjumlah RM18.437 juta menerusi Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 2/2026.

Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Jabatan Premier Sarawak, Datuk Georgina Apphia Ngau berkata, bantuan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyokong pembangunan dan penambahbaikan kemudahan rumah ibadat di negeri ini.

Daripada jumlah keseluruhan itu, Miri menerima 37 cek bernilai RM8.064 juta, Bintulu sebanyak 42 cek berjumlah RM8.786 juta, manakala Limbang menerima lapan cek bernilai RM1.587 juta.

RAKAM KENANGAN: Datuk Georgina Apphia Ngau merakam gambar bersama wakil penerima geran bantuan UNIFOR

Bagi penyerahan di Bintulu pada 19 November lalu, sebanyak 42 cek bernilai RM8.786 juta diserahkan menerusi dua sesi kepada rumah ibadat di kawasan bandar dan pedalaman.

Sesi pertama melibatkan 23 penerima daripada gereja serta institusi di bawah Borneo Evangelical Mission (BEM), manakala sesi kedua membabitkan 19 rumah ibadat daripada pelbagai denominasi Kristian serta komuniti Buddha dan Taoisme.

Penerima bantuan melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus, Belaga, Murum, Tanjong Batu, Kemena dan Samalaju.

Antara kawasan pedalaman yang menerima manfaat termasuk Belaga, Sungai Asap dan Tubau, sekali gus memperluas sokongan kepada kemudahan keagamaan di luar kawasan bandar.

Bagi sesi kedua, penerima terdiri daripada 11 gereja Roman Katolik, dua gereja Methodist, dua rumah ibadat Buddha serta masing-masing sebuah gereja Anglican, rumah ibadat Taoisme, gereja Seventh-day Adventist dan Church of God.

Bantuan itu meliputi projek pembinaan, naik taraf, pengubahsuaian serta penambahbaikan kemudahan rumah ibadat mengikut skop kelulusan masing-masing.

Inisiatif berkenaan bertujuan menyediakan tempat beribadat yang lebih selamat dan selesa, termasuk kepada komuniti di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, UNIFOR mengingatkan semua penerima supaya menguruskan dana secara telus dan bertanggungjawab, selain mematuhi skop projek yang diluluskan.

Pengurusan kewangan serta penyimpanan dokumen sokongan juga perlu dilaksanakan secara teratur bagi memastikan setiap peruntukan digunakan mengikut tujuan ditetapkan.

Penyerahan cek secara bersemuka turut memberi peluang kepada UNIFOR berinteraksi dengan pengurusan rumah ibadat untuk mendapatkan maklum balas serta memahami cabaran yang dihadapi komuniti setempat.

UNIFOR turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Hutan Wilayah Miri, Pejabat Residen Limbang dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) atas kerjasama menyediakan tempat bagi menjayakan siri penyerahan bantuan berkenaan.

BERITA LAIN

Bukit Assek dibangun semula, Sibu jadi bandar pintar

SIBU: Pembangunan semula Bukit Assek yang dianggarkan memerlukan peruntukan sekitar RM2 bilion serta cadangan bandar satelit baharu di Kemuyang menjadi antara perancangan utama untuk mentransformasikan

SoftBank komited labur AS$1 bilion di Sarawak

SIBU: Komitmen pelaburan awal bernilai AS$1 bilion atau kira-kira RM4.07 bilion daripada SoftBank Group bagi pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap

BERITA TERBARU

SKS Serian sasar tarik 100,000 pengunjung

SERIAN: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di Serian menyasarkan kehadiran sehingga 100,000 pengunjung, termasuk dari Samarahan, Kuching dan Sri Aman menerusi pelbagai tawaran serta perkhidmatan