SIBU: Pembangunan semula Bukit Assek yang dianggarkan memerlukan peruntukan sekitar RM2 bilion serta cadangan bandar satelit baharu di Kemuyang menjadi antara perancangan utama untuk mentransformasikan Sibu sebagai bandar pintar moden.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan itu bertujuan menangani kesesakan bandar dan masalah air bertakung, selain menyediakan persekitaran lebih selesa, selamat serta mampan kepada penduduk.

Menurutnya, pembangunan bandar pintar perlu mengimbangi kemajuan infrastruktur dengan pemeliharaan alam sekitar.
“Bukan mudah untuk membangunkan bandar pintar kerana perancangannya mesti mengambil kira aspek kemampanan serta menggabungkan pembangunan dengan alam semula jadi.
“Untuk membangunkan semula Sibu, kita memerlukan pelan menyeluruh dan peruntukan besar. Pada masa sama, kita mesti memastikan paras air dapat dikawal serta menyediakan perkhidmatan yang baik kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Cadangan Projek Terminal Bas Sentral Baharu Sibu, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan semula Bukit Assek memerlukan perancangan teliti, khususnya berkaitan pengurusan paras air, sistem saliran dan penyediaan kemudahan bandar.
Katanya, anggaran sumbangan Kerajaan Sarawak bagi pembangunan semula kawasan itu adalah sekitar RM2 bilion.
“Kita perlu bekerja keras untuk meningkatkan pendapatan negeri supaya hasil tersebut dapat dikembalikan kepada rakyat menerusi pembangunan, khususnya di Sibu,” ujarnya.
Projek pembangunan semula Bukit Assek melibatkan kawasan seluas kira-kira 815 ekar, merangkumi penambahbaikan sistem saliran, pengurusan banjir dan penyusunan semula kawasan bandar.
Pelan induk pembangunan itu diluluskan Pihak Berkuasa Perancang Negeri pada 28 Januari lalu dan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh jangka panjang.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Kemuyang dikenal pasti berpotensi dibangunkan sebagai bandar satelit baharu bagi menampung pertambahan penduduk serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sibu.
Menurutnya, pembangunan kemudahan awam, kawasan rekreasi dan pusat kegiatan ekonomi perlu dirancang secara bersepadu bagi memastikan Sibu terus berkembang sebagai tumpuan penduduk, pelabur dan pengunjung.
Beliau turut mengalu-alukan perancangan Majlis Perbandaran Sibu untuk menaik taraf bandar itu, termasuk cadangan pembinaan Terminal Bas Sentral Baharu Sibu bersama kompleks kemudahan pengguna pengangkutan awam.
Katanya, pembangunan berkenaan perlu diselaraskan dengan pelan keseluruhan bandar supaya jaringan pengangkutan, kawasan kediaman dan pusat kegiatan ekonomi dapat berfungsi dengan lebih berkesan.


