SIBU: Cadangan peruntukan awal RM1.5 bilion bagi pembangunan Zon Ekonomi Sibu (SEZ) akan disokong penubuhan sebuah agensi khas untuk menyelaras pembangunan bandar itu sebagai hab perdagangan dan pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan agensi berkenaan diputuskan sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan bagi memastikan pembangunan ekonomi Sibu dilaksanakan secara lebih tersusun.
Menurutnya, agensi itu akan menyelaras pembangunan infrastruktur dan kemudahan yang dapat menyokong kegiatan perdagangan serta menarik pelaburan ke kawasan berkenaan.
“Pembangunan Terminal Bas Sentral Baharu Sibu yang dicadangkan juga sebahagian daripada usaha menyediakan kemudahan lebih baik kepada masyarakat, seiring perancangan ekonomi jangka panjang kawasan ini.
“Saya berharap terminal bas sentral dan kompleks yang dicadangkan dapat memberikan manfaat kepada penduduk Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Cadangan Projek Terminal Bas Sentral Baharu Sibu, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan SEZ itu akan memberi tumpuan kepada sektor pembuatan bernilai tinggi, pemprosesan hiliran, industri berasaskan pertanian, logistik dan ekonomi hijau.
Katanya, perancangan tersebut turut disokong strategi kerajaan negeri memperkukuh pemilikan aset ekonomi strategik, termasuk Pelabuhan Bintulu dan pegangan saham terbesar dalam Affin Bank.
Beliau berkata, kestabilan pentadbiran serta kedudukan kewangan negeri membolehkan kerajaan meneruskan perancangan pembangunan jangka panjang, termasuk usaha menarik pelaburan dan memperluas peluang ekonomi.
Pembangunan zon ekonomi itu diharap dapat meningkatkan kegiatan perdagangan, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan memperkukuh kedudukan Sibu sebagai antara pusat pertumbuhan utama Sarawak.

