SIBU: Komitmen pelaburan awal bernilai AS$1 bilion atau kira-kira RM4.07 bilion daripada SoftBank Group bagi pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi dan kestabilan Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan menarik minat syarikat teknologi gergasi Jepun itu membuktikan Sarawak semakin berdaya saing sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
Menurutnya, kedudukan kewangan negeri yang kukuh serta kestabilan pentadbiran membolehkan kerajaan merangka dasar pembangunan ekonomi yang meyakinkan pelabur asing.
“Bukan mudah untuk mendapatkan SoftBank kerana banyak negara mahu menarik pelaburannya. Namun, mereka datang ke sini selepas saya mengadakan lawatan ke Jepun dan membawa pulang komitmen pelaburan AS$1 bilion dari Tokyo,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Cadangan Projek Terminal Bas Sentral Baharu Sibu, di sini, hari ini.
Kerjasama pelaburan itu diumumkan pada 9 November lalu menerusi perjanjian pembangunan bersama antara SoftBank Group, Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bagi membangunkan infrastruktur AI di Sarawak.
Cadangan modal awal AS$1 bilion itu merangkumi AS$800 juta daripada SoftBank, manakala Grab dan PETROS masing-masing merancang menyumbang AS$100 juta, dengan pelaksanaan pelaburan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada pencapaian projek serta syarat berkaitan.
Abang Johari berkata, keyakinan pelabur terhadap Sarawak bukan hanya dipengaruhi kekuatan bekalan tenaga dan air, tetapi juga dasar pendidikan percuma yang membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
Katanya, pembangunan industri bernilai tinggi dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi, selain menggalakkan anak Sarawak yang mempunyai kepakaran untuk kembali berkhidmat di negeri sendiri.
“Saya berharap kita dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Sarawak. Tanggungjawab kita bersama adalah untuk terus bergerak ke hadapan dan menjadikan Sarawak ikon ekonomi Malaysia serta hab serantau ASEAN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh penguasaan terhadap aset ekonomi strategik menerusi pengambilalihan Pelabuhan Bintulu dan pelaburan dalam sektor kewangan.
Menurutnya, penyertaan Sarawak dalam Affin Bank merupakan antara langkah memperkukuh kedudukan negeri dalam sektor berkenaan.
Kerajaan Sarawak kini merupakan pemegang saham terbesar Affin Bank dengan kepentingan sebanyak 31.25 peratus.

