SARIKEI: Pemerkasaan wanita perlu terus diperkukuh kerana golongan itu memainkan peranan penting dalam membina keluarga sejahtera, membangunkan masyarakat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pendidikan negara.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, wanita bukan sahaja menjadi tunjang kesejahteraan keluarga, malah turut berperanan sebagai penggerak pembangunan masyarakat.

Menurutnya, pembangunan sebenar bukan sekadar diukur melalui kemajuan fizikal, tetapi turut merangkumi peluang dan sokongan yang diberikan kepada wanita untuk berkembang, memimpin serta menyumbang kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menghadiri Majlis Fund Raising Dinner 2026 anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Muhibah.

Huang turut merakamkan penghargaan kepada PPWS Cawangan Muhibah atas usaha menyatukan golongan wanita di Sarikei menerusi pelbagai aktiviti yang menggalakkan perkongsian pengalaman, mengeratkan hubungan serta menyumbang kepada kebajikan masyarakat.
Beliau turut menghargai kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat negeri ini termasuk golongan wanita.
Sebagai sokongan terhadap usaha memperkasa wanita dan komuniti setempat, Huang menyumbangkan RM8,000 kepada PPWS Cawangan Muhibah bagi membantu pelaksanaan program pembangunan wanita dan masyarakat setempat.



