KOTA SAMARAHAN: Skuad muda yang semakin digeruni kredibiliti mereka, TamanMu siap sedia untuk mengharungi Karnival Bola Sepak Bawah 16 Tahun 2026 yang akan berlangsung di Debak, Betong esok (Sabtu).
Ketua jurulatih, Padli Rapaii menegaskan, barisan pemainnya seakan-akan tidak sabar untuk turun ke gelanggang esok.
“Kita sudah bersedia untuk mengharungi karnival ini. Pemain jelas tidak sabar untuk turun beraksi,” ujar Padli kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, persiapan pasukannya berjalan lancar untuk menghadapi karnival berkenaan.
“Sasaran kami untuk muncul juara dalam karnival kali ini.
“Memang tidak tersedia jalan mudah untuk pemain merealisasi misi tersebut. Apa-apa pun, saya berharap pemain dapat melaksana tugas dengan sempurna pada setiap perlawanan dilalui nanti,” tambah Padli.
Skuad TamanMu kelab yang berpangkalan di Samarahan akan membariskan pemain muda berbakat yang pernah beraksi dalam beberapa perlawanan kompetitif sepanjang tahun ini.
Karnival kali ini menghimpunkan 6 pasukan kesemuanya. Lima pasukan lain ialah Bintangor FC, Anak Kampung FC, Team Gen’z Debak Betong, Seberang City FC dan Saribas FC.
Format karnival secara liga satu pusingan.

