MATU: Matu berpotensi menjadi antara kawasan pengeluaran padi utama Sarawak dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai jelapang padi negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, potensi itu didorong kesesuaian tanah serta kemahiran penduduk tempatan dalam penanaman padi, selain penggunaan teknologi baharu yang mampu meningkatkan produktiviti dan hasil tuaian pesawah.
Menurutnya, kajian penggunaan benih padi jenis perennial yang diperkenalkan dari China dan dibawa masuk oleh Kerajaan Sarawak sedang dilaksanakan di kawasan sawah Kuala Baram sebelum diperluas ke Matu.
“Teknologi ini berpotensi mengubah kaedah penanaman padi tradisional yang hanya membolehkan pesawah menikmati satu musim tuaian setahun kepada sistem yang lebih produktif.
“Jika teknologi ini berjaya dilaksanakan, pesawah berpotensi menikmati sehingga tiga musim tuaian setahun, sekali gus meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan mereka.
“Ini tentunya memberi dimensi baharu kepada sektor penanaman padi di Matu, khususnya dalam usaha memanfaatkan kawasan sawah yang sedia ada,” katanya ketika lawatan turun padang di sekitar daerah ini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, kajian Jabatan Pertanian turut mengenal pasti beberapa kawasan di Sarawak yang sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan tanaman padi, termasuk Bruan yang mempunyai potensi di sekitar Matu.
Ujarnya, pembangunan sektor pertanian khususnya penanaman padi perlu diberi perhatian bagi memastikan Sarawak mampu meningkatkan pengeluaran makanan sendiri, selain mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari luar.
“Usaha ini juga selari dengan hasrat Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu jelapang padi Malaysia, sekali gus memperkukuh sektor agromakanan dan sekuriti makanan negeri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Juanda turut menyeru penduduk kampung supaya terus mengekalkan perpaduan dan kestabilan politik bagi memastikan kesinambungan pembangunan di Sarawak.
Tegasnya, segala isu berkaitan kemudahan dan keperluan penduduk perlu disalurkan kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab supaya tindakan penyelesaian dapat diambil dengan lebih cepat dan berkesan.
“Kestabilan politik yang dinikmati Sarawak sejak dua penggal pentadbiran kerajaan negeri menjadi antara faktor penting yang membolehkan pembangunan diteruskan.
“Sarawak kini dilihat sebagai contoh perpaduan dan kestabilan politik di peringkat nasional,” tambahnya.

