KUCHING: Isu semasa, kekangan operasi dan cabaran pengurusan di pintu masuk udara, darat serta laut di seluruh Sarawak menjadi tumpuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam usaha memperkukuh kecekapan kawalan imigresen negeri.
Penekanan turut diberikan dengan penyelarasan aspek keselamatan dan pengurusan pasport bagi memastikan kelancaran operasi serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, sehubungan itu, JIM Sarawak mengadakan dua mesyuarat penyelarasan berasingan pada Rabu dan Khamis bagi meneliti isu berkaitan kawalan pintu masuk, pelaksanaan tugas serta pengurusan perkhidmatan pasport di seluruh negeri.
“Kedua-dua mesyuarat yang berlangsung secara hibrid di Bilik Mesyuarat Gemilang, Bangunan Sultan Iskandar, di sini, dipengerusikan Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sarawak, Datuk Abdul Halim Abang Naili,” kata kenyataan itu.
JIM Sarawak menambah, mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Kawalan Pintu Masuk Sarawak (Udara/Darat/Laut) Bilangan 1 Tahun 2026 pada 18 November memberi tumpuan kepada isu semasa, permasalahan operasi serta cabaran yang dihadapi dalam pengurusan kawalan pintu masuk negeri.
Perbincangan itu kata kenyataan itu bertujuan memastikan setiap isu dikenal pasti dan diteliti secara menyeluruh bagi membolehkan tindakan susulan bersesuaian dirangka, sekali gus memperkemas penyelarasan pengurusan imigresen di semua pintu masuk berkenaan.
“Mesyuarat Penyelarasan Keselamatan dan Pasport Bilangan 1 Tahun 2026 yang diadakan keesokannya pula memfokuskan penyelarasan pelaksanaan tugas, penyampaian perkhidmatan serta pengurusan pasport di seluruh Sarawak.
“Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching yang menganjurkan kedua-dua mesyuarat berkenaan turut bertindak sebagai penyelaras dan urus setia bagi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan mendapat penelitian sewajarnya sebelum tindakan susulan dirangka,” tambah kenyataan JIM Sarawak.
Mesyuarat pengurusan kawalan pintu masuk turut dihadiri Timbalan Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (Kawalan), Norhafiza Junaidi; Timbalan Pengarah Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (Pengurusan), Roslinda Hanim Mohd Yusoff serta Ketua Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching, Kalthom Ahmad.
Hadir sama Komander Pintu Masuk Pelabuhan Pending/Senari, Abang Mat Noor Abang Abdul Samat, wakil Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Udara, ketua-ketua pintu masuk serta pegawai kanan jabatan.
Mesyuarat keselamatan dan pasport pula disertai Roslinda Hanim, Kalthom, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua pejabat Bahagian Keselamatan dan Pasport serta pegawai berkaitan.
Pada masa sama, usaha tersebut turut memperlihatkan penekanan jabatan terhadap penyelarasan pengurusan keselamatan dan pasport yang lebih teratur bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Langkah itu selaras dengan komitmen JIM Sarawak untuk memastikan pengurusan kawalan pintu masuk sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.

