MIRI: Hasrat seorang wanita warga emas untuk mendapatkan semula wang yang pernah hilang akibat penipuan bertukar menjadi kerugian baharu apabila diperdaya individu yang menyamar sebagai wakil agensi kerajaan sehingga kehilangan RM9,068.
Wanita berusia 70 tahun itu dipercayai terpedaya dengan tawaran bantuan pemulangan wang menerusi Facebook sebelum diarahkan membuat tiga pembayaran berasingan bagi melengkapkan proses yang kononnya membolehkan wangnya diperoleh semula.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian bermula pada 11 November lalu apabila mangsa tertarik dengan iklan menggunakan nama “NACSA (Unit Operasi & Teknikal)” yang menawarkan perkhidmatan membantu individu mendapatkan kembali wang akibat penipuan.
“Mangsa kemudian menghubungi individu yang menawarkan perkhidmatan tersebut melalui WhatsApp sebelum diminta menyerahkan maklumat peribadi termasuk gambar kad pengenalan dan butiran akaun bank,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan menambah, wanita itu turut dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp menggunakan nama sama, sebelum dimaklumkan beberapa bayaran perlu dijelaskan bagi membolehkan permohonannya diproses.
Mohd Farhan berkata, mangsa pada mulanya membuat pembayaran RM168 sebagai caj pembukaan akaun, diikuti RM1,000 bagi caj perkhidmatan seperti yang diarahkan.
“Bagaimanapun, wanita itu sekali lagi diminta membayar RM7,900 atas alasan caj keselamatan yang kononnya diperlukan untuk melengkapkan urusan pemulangan wang berkenaan.
“Keseluruhannya, mangsa melakukan tiga transaksi berjumlah RM9,068, namun individu terbabit terus menuntut bayaran tambahan tanpa memulangkan wang seperti yang dijanjikan,” katanya.
Menurutnya, mangsa mula menyedari kemungkinan dirinya diperdaya selepas permintaan bayaran berulang kali dibuat, lalu mengambil keputusan tampil membuat laporan polis.
Siasatan awal katanya mendapati semua urusan dilakukan sepenuhnya dalam talian, termasuk komunikasi melalui WhatsApp dan pemindahan wang tanpa sebarang pertemuan antara mangsa dengan individu yang menawarkan bantuan tersebut.
Mohd Farhan berkata, semakan awal terhadap tiga akaun bank yang digunakan untuk menerima pembayaran serta nombor telefon suspek tidak menemukan sebarang rekod dalam sistem CCIS.
“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dan mengesan individu yang terlibat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” ujarnya.

