MIRI: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membongkar perbuatan khianat seorang lelaki berusia 22 tahun yang sengaja mencetuskan kebakaran di belakang sebuah bengkel kereta di Jalan Pasar Lutong sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM35,000.
Perbuatan tersebut akhirnya membawa kepada hukuman penjara lapan tahun terhadap lelaki tempatan berkenaan selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Miri pada 18 November lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api dengan niat menyebabkan kerosakan bernilai RM50 atau lebih.
“Kejadian terbongkar selepas pemilik bengkel KT Car Air-Conditioning meneliti rakaman CCTV pada 7 November lalu, kira-kira jam 7.30 malam, bagi mengenal pasti punca kebakaran yang menimpa premisnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, pada peringkat awal, pemilik bengkel berkenaan tidak mengesyaki kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat mana-mana individu.
Bagaimanapun katanya, rakaman CCTV menunjukkan tertuduh sengaja membakar sesuatu di bahagian belakang bengkel sehingga api merebak ke dalam premis tersebut.
“Akibat kebakaran itu, pemilik bengkel mengalami kerugian dianggarkan RM35,000 susulan kerosakan pada premis perniagaannya.
“Susulan siasatan, lelaki berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Miri sebelum mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap tertuduh atas kesalahan khianat menggunakan api,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menyeru orang ramai supaya segera menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri atau balai polis berhampiran.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama masyarakat dalam membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.


