ARTIKEL

Jangan Hanya Jadi Penonton

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PILIHAN raya bukan sekadar Pgelanggang parti politik mendapatkan mandat rakyat mentadbir negeri atau negara. Pilihan raya ialah detik untuk rakyat menentukan haluan pemerintahan dan masa depan tanah air.

Sebab itu, pilihan raya amat penting. Dan, setiap seorang rakyat terutama yang sudah mendaftar sebagai pengundi perlu turun ke pusat mengundi untuk membuat pilihan (mengundi). Begitu juga dengan pengundi muda.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 misalnya, pelibatan anak muda wajar diberi perhatian kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan, pembangunan dan hala tuju Bumi Kenyalang. Mereka juga bakal peneraju politik negeri.

Jadi, tanggapan ramai anak muda bahawa politik adalah urusan orang tua, atau sekadar riuh-rendah di pentas ceramah harus dibuang. Hakikatnya, hampir setiap keputusan politik adalah untuk kehidupan mereka.

Kos pengajian, peluang kerja, harga rumah, kemudahan pengangkutan dan keadaan jalan ke kampung, semuanya dibentuk oleh undi rakyat untuk rakyat.

Maka, ada soalan yang patut direnung secara mendalam. Sejauh manakah kita benar-benar mengambil tahu tentang hal ini? Dan, sejauh manakah hak mengundi itu digunakan dengan kesedaran?

Atas sebab itu, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik amat penting. la telah membuka pintu lebih luas kepada generasi muda untuk memahami politik dan pilihan raya. Namun demikian, pintu yang terbuka luas tidak memberi apa-apa makna jika tiada yang melangkah masuk ke pusat pengundian dengan persediaan.

Menurut angka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 129,034 pengundi berusia 18

hingga 20 tahun direkodkan boleh mengundi pada PRU Sarawak ke-13.

Generasi muda

Jumlah ini menunjukkan bahawa generasi muda mempunyai tempat tersendiri dalam landskap demokrasi negeri. Hak mengundi itu bukan sekadar hak di tangan, tetapi amanah yang menuntut ilmu, kefahaman dan kemampuan menilai isu secara rasional.

Hari ini, anak muda membesar bersama Facebook, Tik Tok, Instagram, YouTube dan WhatsApp. Daripada saluran inilah mereka mengikuti perkembangan semasa dan memerhati pandangan pelbagai pihak.

Kemudahan ini satu rahmat, namun turut membawa ujian besar. Tidak semua yang berlegar-legar di media sosial berpaksikan fakta. Ada yang sekadar pendapat peribadi, separuh benar, selain sengaja disebarkan tanpa disahkan.

Dalam lautan maklumat yang deras dan pantas ini, anak muda perlu bijak membuat tapisan. Semak sumber, bandingkan dengan laporan yang boleh dipercayai, dan buat penilaian berdasarkan fakta, bukan perasaan.

Jangan pula kita lebih hafal slogan daripada dasar yang diperjuangkan. Jangan tergesa-gesa menghukum hanya kerana sepotong video atau sebaris kenyataan yang dikeluarkan daripada konteksnya. Sebab, politik memerlukan pemikiran, bukan sekadar reaksi.

Dalam era media sosial kini, kecenderungan terhadap calon lahir daripada penilaian berdasarkan populariti, gaya bercakap atau kepandaian. Ini sangat menarik perhatian di skrin telefon bimbit. Wajah yang menawan dan ayat-ayat yang digunakan di Tik Tok belum tentu menjamin kesungguhan untuk berkhidmat.

Ukuran yang lebih bermakna adalah rekod perkhidmatan, komitmen terhadap masyarakat, pemahaman tentang isu setempat serta keupayaan menjelaskan setiap dasar yang ingin dilaksanakan.

Jadi, anak muda perlu berani bertanya. Apakah rancangan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan? Bagaimana pula masalah pengangkutan awam hendak diatasi?

Apakah usaha memperluas akses pendidikan dan latihan kemahiran? Bagaimana pula golongan muda boleh diberi ruang menyertai kegiatan ekonomi?

Harus difahami, soalan yang baik adalah cerminan pengundi yang matang.

Pembangunan luar bandar tidak boleh dilupakan. Masih ada kawasan yang menantikan jalan raya yang lebih baik, bekalan air bersih, elektrik yang stabil dan capaian Internet yang mantap.

Bagi anak muda di pedalaman, perkara ini bukan sekadar bahan perbahasan politik. la menentukan sama ada mereka dapat belajar tanpa terputus talian Internet, mencari rezeki tanpa meninggalkan kampung halaman, dan membina kehidupan yang lebih sejahtera.

Justeru, pelibatan mereka dalam pilihan raya wajar berpaksikan kefahaman tentang

keperluan sebenar masyarakat kerana tanggungjawab anak muda tidak berakhir sebaik sahaja kertas undi dimasukkan ke dalam peti undi.

Demokrasi

Demokrasi ialah perjalanan panjang yang memerlukan penyertaan berterusan.

Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, rakyat masih perlu mengikuti perkembangan pentadbiran, menilai pelaksanaan dasar dan menyuarakan pandangan dengan penuh hemah.

Ruang untuk berbuat demikian terbentang luas, sama ada melalui persatuan belia, pertubuhan masyarakat, institusi pendidikan,

forum perbincangan atau kegiatan kemasyarakatan, juga dalam parti politik yang disertai. Kemukakan idea serta cadangan yang membina, bukan sekadar kritikan yang membakar.

Perbezaan pandangan tidak wajar menjadi punca permusuhan. la sepatutnya diraikan sebagai tanda demokrasi yang sihat.

Jangan jadikan politik sebagai alasan untuk memutuskan persahabatan, mendinginkan hubungan kekeluargaan atau memecahkan kerukunan masyarakat. Parti boleh berbeza, tetapi kita tetap berjiran dan bersaudara.

Harus diingat, Sarawak memerlukan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mempunyai kesedaran sivik, pemikiran kritis dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

Jadi, politik wajar dilihat sebagai ruang untuk menyumbang fikiran dan tenaga untuk pembangunan negeri, bukan gelanggang bertikam lidah.

Jangan pula menyangka suara kita terlalu kecil untuk membawa perubahan. Idea yang baik sering bermula daripada perbualan sederhana di serambi rumah panjang, bilik darjah, kampus atau kedai kopi, sebelum membesar menjadi gagasan yang lebih besar. Yang penting ialah bersedia mengambil tahu, bertanya, menilai dan melibatkan diri.

Akhirnya, pilihan raya bukan tentang siapa yang memperoleh mandat, tetapi bagaimana mandat itu digunakan untuk menunaikan harapan rakyat. Anak muda jangan sekadar menjadi penonton yang memerhati dari jauh.

Jadilah generasi yang memahami demokrasi, berani menyuarakan pandangan dan memikul tanggungjawab terhadap masa depan negeri.

Ini kerana masa depan Sarawak bukan hanya ditentukan oleh pemimpin yang dipilih dalam PRU Sarawak pada 12 Disember kelak, tetapi turut dibentuk oleh generasi muda yang sanggup melangkah ke depan dan menentukan arah perjalanannya.

BERITA LAIN

Takwa, sedekah bawa keberkatan

SOALAN: Apakah amalan lain yang membuka pintu rezeki? JAWAPAN: Selain memperbanyakkan istighfar, terdapat beberapa amalan lain yang dianjurkan dalam Islam sebagai ikhtiar untuk memperoleh rezeki

BERITA TERBARU

Misteri ratusan keranda serta lidah emas terungkai

MESIR: Ahli arkeologi Mesir menemukan sebuah tanah perkuburan purba yang mengandungi ratusan keranda, artifak emas berbentuk lidah serta barang kemas di wilayah Menoufia, utara negara

Trump yakin tamatkan perang Iran tanpa bantuan

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata Washington tidak memerlukan bantuan China atau Rusia untuk menamatkan perang dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.