SOALAN: Apakah amalan lain yang membuka pintu rezeki?
JAWAPAN: Selain memperbanyakkan istighfar, terdapat beberapa amalan lain yang dianjurkan dalam Islam sebagai ikhtiar untuk memperoleh rezeki yang luas dan diberkati Allah SWT.
Kita perlu menyedari rezeki bukan sahaja berbentuk wang ringgit dan harta benda, malah turut merangkumi kesihatan, ketenangan jiwa, keluarga yang bahagia serta kehidupan yang penuh keberkatan.
Antara amalan yang boleh dilakukan termasuklah bertakwa kepada Allah SWT. Ketakwaan merupakan salah satu sebab Allah SWT memberikan jalan keluar daripada kesulitan dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
“Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” (Surah al-Talaq, ayat 2 hingga 3)
Ayat ini mengajar kita supaya sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dalam setiap urusan kehidupan.
Selain itu, kita juga digalakkan memperbanyakkan sedekah dan membantu orang lain.
Jangan takut untuk bersedekah kerana harta yang dibelanjakan pada jalan Allah SWT tidak akan menjadi sia-sia. Bahkan, Allah SWT menjanjikan ganjaran yang berlipat ganda kepada mereka yang bersedekah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebijji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Amalan mengeratkan hubungan silaturahim juga merupakan salah satu sebab keluasan rezeki dan keberkatan umur.
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rezeki yang diberkati bukan sahaja diperoleh melalui usaha mencari nafkah, malah turut berkait rapat dengan usaha memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.
Oleh itu, marilah kita meningkatkan ketakwaan, memperbanyakkan sedekah dan memelihara hubungan silaturahim.
Dalam masa yang sama, teruskan berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT kerana Dialah yang mengurniakan rezeki kepada seluruh makhluk-Nya.



