ARTIKEL

Tun Wan Junaidi, isteri ziarah keluarga Allahyarham Sudarsono Osman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menziarahi keluarga Allahyarham Datu Sr. Sudarsono Osman.

Kunjungan ke kediaman keluarga Allahyarham, di sini, hari ini, bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan penghormatan ke atas jasa dan sumbangan bekas penjawat awam kanan Sarawak itu dalam pentadbiran kerajaan dan pembangunan sukan bola sepak negeri.

Tun Dr Wan Junaidi menerusi hantaran di Facebook turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham serta mendoakan kesejahteraan rohnya.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhum, menerima segala amal ibadah dan kebajikannya serta mencucuri rahmat ke atas rohnya,” katanya.

Turut mengiringi kunjungan berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama-sama isteri, Datuk Baduyah Bujang.

Terdahulu, Mohamad Abu Bakar dalam kenyataan takziahnya menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada Perkhidmatan Awam Sarawak yang pernah menerima sumbangan serta kepakaran beliau sepanjang hampir empat dekad.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1955 memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam Sarawak pada 13 November 1978 sebagai juruukur di Jabatan Tanah dan Survei Sarawak selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Ukur Tanah di University of Queensland, Australia.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menyandang jawatan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mulai 2006, selain berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap di beberapa kementerian penting kerajaan negeri.

Pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kesan kepada keluarga dan warga perkhidmatan awam, malah turut dirasai komuniti bola sepak Sarawak yang pernah menyaksikan sumbangan serta kepimpinannya dalam pembangunan sukan berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU