ARTIKEL

BARANG KES: Dua tong plastik berwarna biru yang dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak diesel ditemukan di tempat duduk belakang sebuah kereta, susulan siasatan kes kecurian diesel di Kabong.

Lelaki ditahan selepas curi diesel lori untuk ditukar dengan dadah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KABONG: Dua tong minyak diesel yang dipercayai dicuri dari sebuah lori dijadikan bahan pertukaran dengan dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM100, sebelum kegiatan itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh diberkas di pekarangan Klinik Kesihatan Nyabor, di sini, kira-kira 12.15 tengah hari, Khamis.

Menurutnya, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai oleh Inspektor Henry Muji, hasil maklumat orang awam berhubung kejadian kehilangan diesel dari sebuah lori di Kampung Sessang.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memperoleh dua tong diesel daripada seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Rizky pada 17 November lalu, dengan menyerahkan dua tiub potongan straw berisi syabu bernilai kira-kira RM100 sebagai bayaran,” katanya dalam kenyataan.

Mathew berkata, suspek turut mendakwa urusan pertukaran diesel dengan dadah itu bukan kali pertama dilakukan, sebaliknya sudah beberapa kali mendapatkan bekalan daripada individu sama.

Menurutnya, syabu yang digunakan dalam urusan berkenaan diperoleh daripada seorang lagi lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Arman Cot di Kampung Plassu.

“Suspek turut memaklumkan diesel tersebut dipercayai dicuri daripada lori dan jentolak yang ditinggalkan di sepanjang laluan pembinaan jalan dari Roban menuju ke Jambatan Kaba.

“Malah, diesel yang diperoleh itu didakwa dijual semula kepada pembeli yang berminat pada harga RM85 bagi setiap tong berkapasiti 30 liter,” katanya.

Mengulas kejadian asal, Mathew berkata, seorang pemandu lori berusia 43 tahun menyedari kehilangan diesel di dalam tangki kenderaannya ketika mahu memulakan kerja pada 18 November lalu selepas meninggalkan lori itu di kawasan pengumpulan hasil sawit Kampung Sessang.

Lori tersebut katanya diletakkan dalam keadaan berkunci sejak 15 November kerana pengadu bercuti selama tiga hari.

Beliau berkata, ketika ditahan, suspek dipercayai dalam perjalanan ke Jambatan Kaba untuk mendapatkan bekalan diesel daripada lelaki warga Indonesia berkenaan.

“Suspek kemudian dibawa untuk siasatan lanjut manakala individu yang didakwa membekalkan diesel curi itu masih bebas berdasarkan maklumat awal polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri,” katanya.

BERITA LAIN

Jangan Hanya Jadi Penonton

PILIHAN raya bukan sekadar Pgelanggang parti politik mendapatkan mandat rakyat mentadbir negeri atau negara. Pilihan raya ialah detik untuk rakyat menentukan haluan pemerintahan dan masa

Takwa, sedekah bawa keberkatan

SOALAN: Apakah amalan lain yang membuka pintu rezeki? JAWAPAN: Selain memperbanyakkan istighfar, terdapat beberapa amalan lain yang dianjurkan dalam Islam sebagai ikhtiar untuk memperoleh rezeki

BERITA TERBARU

Tebing Ai Lawas deka dikemanah

LAWAS: Tebing Ai Lawas ulih dikemansang enggau digaga manah nyadi entara tebing ai pemadu manah rampa ba kandang menua tu nyadi sebagi ari pengawa ngemanahka

Pesakit, pakar ulih bekunsi penerang

MIRI: Pengawa bekenaka pemintar digaga (AI) ba bidang perubat ulih mai pesakit ba Sarawak betemu enggau pakar perubat di Shanghai ngеnа sistem ‘luture online’ dudi